Darren Lok: “Saya Sentiasa Suka Jaringkan Gol”

Penyerang berbisa Harimau Malaya, Darren Lok menjadi antara pemain yang kini tidak sabar untuk mewakili skuad kebangsaan pada saingan Pestabola Merdeka yang bakal diadakan tidak lama lagi.

Apa tidaknya, menerusi momentum semasa Darren yang tajam di hadapan pintu gol bersama Sabah pastinya ingin diteruskan kini bersama pasukan kebangsaan yang dijadualkan bakal berdepan India pada 13 Oktober ini.

Darren menjadi antara nama penyerang yang terus dipanggil untuk memperkuatkan skuad kebangsaan yang kini dalam persiapan sebelum mengharungi saingan Piala Asia awal tahun hadapan.

Prestasi Semasa Darren Lok Mampu Buat Kim Pan-gon Terus Gembira

Sejak bersama Kim Pan-gon di kem kebangsaan, kelibat Darren jarang mengecewakan menerusi impak cukup positif dipamerkan beliau untuk menerajui posisi serangan Malaysia.

Malah, momentum semasa penyerang berbisa ini juga berada dalam keadaan sangat baik kini selepas beliau memastikan Sabah meraih dua kemenangan berturut-turut dalam saingan peringkat Kumpulan H Piala AFC 2023.

“Saya sentiasa suka jaringkan gol dan apa yang penting adalah selagi saya dapat membantu pasukan menang saya gembira.

“Oleh itu, saya berikan 100 peratus komitmen pada setiap perlawanan dan saya harap dapat teruskan momentum ini untuk skuad kebangsaan,” katanya menerusi laporan Harian Metro.

Untuk rekod, ketika ini Darren sudah pun meledak empat gol daripada dua perlawanan dihadapi beliau bersama Sabah dalam saingan tersebut.

Musim ini sahaja, Darren sudah pun meledak 10 gol dalam semua saingan disertai beliau bersama Sabah selain turut merekodkan dua bantuan jaringan bersama The Rhinos.

Ini menjadikan dirinya sebagai antara peledak tempatan yang sangat berbisa dan sudah tentu akan menjadi aset penting bersama pasukan negara.

Selain menerima pujian ramai penyokong tempatan mengenai ketajaman Darren di hadapan gol, kelibat penyerang itu turut mendapat perhatian pengendali PSM Makassar iaitu Bernardo Tavares.

Jelas Tavares, Darren bukan sahaja tajam di hadapan gol malah pemain itu sangat versatil dan mampu beraksi di lebih daripada satu posisi sahaja.

Momentum positif itu pastinya juga ditagih penyokong skuad kebangsaan, supaya kehadiran Darren di posisi serangan negara akan membantu Malaysia mencatat kemenangan sulung dalam saingan Pestabola Merdeka untuk mengatasi India.

Sumber:
Harian Metro

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN