Nama Darren Lok tiada dalam senerai penjaring gol ketika Malaysia menewaskan Turkmenistan 3-1 dalam aksi pertama aksi pusingan Kelayakan Piala Asia 2023.
Tetapi kelibatnya telah mencuri perhatian pelbagai pihak termasuk pihak media yang mengangkat beliau sebagai salah seorang calon pemain terbaik perlawanan.
Kadar kerja luar biasa yang ditampilkan sepanjang keberadaannya di atas padang sebelum digantikan pada penghujung perlawanan menjadi salah satu penyumbang utama kepada kejayaan pasukan.
Tuah ayam nampak di kaki
Darren Lok bukanlah terlalu asing buat skuad kebangsaan. Sebelum dipanggil menyertai skuad kebangsaan baru-baru ini, beliau telah pun mengumpul lapan kaps antarabangsa dan pernah meledak satu gol ketika skuad negara tewas 2-1 kepada Syria dalam aksi persahabatan pada 2017.
Beliau kembali menjadi sebutan bermula tahun lalu selepas menyertai PJ City. Darren Lok cemerlang dalam beberapa perlawanan awal Liga Super, namun kecederaaan memaksa beliau berehat panjang sebelum kembali menggegar di kejohanan Piala Malaysia.
Teruja Dapat Kembali Selepas 5 Tahun, Darren Lok Tak Rela ‘Akaun’ Golnya Kosong
Ketika perlawanan persahabatan menentang Brunei tempoh hari, peminat ternyata kecewa apabila kelibatnya tidak kelihatan walaupun di bangku simpanan.
Namun untuk aksi pemanas badan seterusnya berdepan Hong Kong, beliau diberi kepercayaan untuk memulakan perlawanan, lantas dengan serta merta membuktikan kualiti seorang penyerang yang amat diperlukan skuad kebangsaan setelah sekian lama.
Ia merupakan penampilan pertamanya selepas lima tahun. Beliau sebelum ini beberapa kali terlepas panggilan skuad kebangsaan akibat kecederaan dan dijangkiti Covid-19.
Maka tidak hairanlah mengapa Darren Lok menjadi pilihan pengendali Malaysia, Kim Pan-gon untuk diturunkan dalam kesebelasan utama ketika menentang Turkmenistan dan ia jelas satu percaturan yang amat berbaloi.
Kadar kerja yg tinggi dengan larian (dengan dan tanpa bola), sentuhan, tekanan serta pintasan.@DarrenLok telah menampilkan kualiti penyerang yang benar-benar diperlukan skuad negara setelah sekian lama.
📷 FAM pic.twitter.com/kiGtvSJXqn
— Nur Hadi Mohamad (@nurhadimohd) June 8, 2022
25 minit pertama, Malaysia berjaya beraksi dengan tempo yang tinggi terutamanya dalam memberi tekanan yang memaksa pasukan lawan bermain di blok yang rendah dan melakukan kesilapan.
Selaku penyerang utama, kesungguhan Darren Lok telah berjaya memburaikan benteng pertahanan Turkmenistan yang turut dibantu pemain-pemain pantas serta memiliki teknik individu yang baik seperti Arif Aiman Hanapi, Faisal Halim dan Safawi Rasid.
Hasilnya dua gol awal yang dijaringkan jelas meruntuhkan moral pasukan lawan dan momentum positif itu berjaya dikekalkan sehingga tamat perlawanan.
Fokus untuk cabaran seterusnya
Mengenai sokongan peminat yang menyifatkan beliau sebagai penyerang harapan negara, Darren Lok yang sempat ditemubual oleh Semuanya BOLA menghargainya, namun tidak dapat menyembunyikan kekecewaannya kerana gagal menyumbang sekurang-kurangnya satu gol untuk pasukan.
“Sudah tentu saya gembira mendengarnya, cuma saya agak kecewa tak dapat menjaringkan gol,” ujar penyerang berusia 32 tahun itu.
“Memang saya berharap sekurang-kurangnya dapat satu [jaringan] dan mengubah nasib saya. Apa pun saya gembira kita mendapat tiga mata, itu yang lebih penting.”
Great start last night.
We go again 🇲🇾🐯 pic.twitter.com/RCCGgKc9af
— Darren Lok (@DarrenLok) June 9, 2022
Ketika ditanya mengenai peluang Malaysia untuk layak ke pusingan akhir pada tahun depan, Darren jelas tidak sabar untuk membantu Malaysia mendapat keputusan positif untuk baki dua perlawanan menentang Bahrain dan Bangladesh.
“Sebelum beraksi malam ini, kita tahu ia merupakan antara perlawanan yang penting dan kita akhirnya mendapat keputusan baik,” tambahnya lagi.
“Semestinya kita perlu lakukan perkara yang sama untuk ketiga-tiga perlawanan kerana perjalanan kita belum tamat, masih ada tugasan yang perlu diselesaikan.
“Kita tak boleh terus bersantai. Kita boleh nikmati kejayaan malam ini, tapi esok kita perlu bangun dan bersedia untuk perlawanan seterusnya.”
“Pemain ibarat harimau sebenar”
Kim Pan-gon yang ditanya oleh wartawan mengenai pemilihan Darren Lok dalam kesebelasan utama berbanding Syafiq Ahmad dan De Paula enggan memberikan sebarang komen mengenai pemainnya secara individu.
‘Game Management’ Pan-gon Yang Genius Matikan Taktikal Fizikal Turkmenistan
Beliau sebaliknya menekankan tugasannya adalah untuk membuat perancangan terbaik dalam setiap perlawanan dan pemain telah pun menunjukkan semangat juang di atas padang.
Malah jurulatih dari Korea Selatan tersebut menyifatkan anak buahnya telah memberikan 120 peratus usaha dan menunjukkan semangat ‘harimau sebenar’ untuk mendapatkan keputusan positif.
Kredit Foto: FAM