Darren Lok Jadi Pertaruhan Baharu Serangan Sabah Musim Hadapan

Sabah menjadi antara pasukan yang kini sedang giat mempersiapkan pasukan mereka untuk mengharungi saingan Liga Malaysia (Liga-M) pada musim hadapan.

Terbaharu, mereka sah telah pun menandatangani salah seorang penjaring terbanyak Liga Super 2022 iaitu Darren Lok untuk memperkukuhkan posisi serangan.

Darren bukan lagi nama yang asing dalam bola sepak tempatan, selepas kecemerlangan beliau di hadapan gol banyak membantu bekas pasukan diwakilinya sebelum itu, Petaling Jaya City (PJ City).

Musim ini menyaksikan Darren telah pun meledak 10 gol secara keseluruhan dalam saingan Liga Super untuk berada di tangga ketujuh serta memintas beberapa lagi penyerang lain seperti Ifedayo dan Manuel Hidalgo.

Sabah yang jelas ketandusan penyerang musim ini pastinya ingin memperkukuhkan posisi tersebut supaya mereka tampil lebih tajam untuk musim hadapan.

Ura-ura mengenai perpindahan Darren sudah pun diketahui ramai sebelum itu, selepas isteri kepada pemain tersebut iaitu Abigail Mary Ryan telah pun menyertai satu komuniti Facebook, Sabah Property untuk mencari rumah sewa baharu di sana.

“Hai semua, saya dan suami akan bergerak ke Kota Kinabalu pada Disember atau Januari hadapan serta ketika ini sedang mencari rumah untuk disewa.

“Kami sangat teruja untuk ingin tahu kawasan di Residensi D’Banyan. Adakah sesiapa tahu mana-mana unit rumah di sana untuk disewa?,” jelas kenyataan isteri Darren di Facebook.

Menerusi kenyataan yang dimuat naik itu semakin menguatkan khabar mengenai perpindahan Darren bersama Sabah pada musim hadapan.

Darren yang beraksi selama dua musim sebelum itu bersama PJ City dilihat berjaya menaikkan kembali nama beliau selaku salah seorang penyerang terbaik negara menerusi prestasi dirinya bersama pasukan tersebut.

Pemain itu pada musim ini boleh dikatakan sedang menikmati saat terbaik beliau selaku pemain bola sepak profesional bersama kelab atau negara.

Selain konsisten dalam saingan domestik, Darren juga tidak ketinggalan untuk mencatag nama selaku salah seorang penjaring buat Harimau Malaya di pentas antarabangsa tahun ini.

Selepas beliau terpaksa digugurkan pada tahun lalu dalam saingan Piala AFF di Singapura kerana masalah kecederaan, kali ini Darren tidak melepaskan peluang untuk memahat nama sebagai salah seorang penjaring gol buat Malaysia.

Pemain berusia 31 tahun itu berjaya menjadi antara wira yang membantu Malaysia melayakkan diri ke saingan Piala Asia 2023, selain meledak satu gol ketika mereka menewaskan Bangladesh di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ).

Berdasarkan prestasi cemerlang Darren pada musim ini, maka tidan hairan mengapa khidmat beliau diintai pasukan-pasukan lain termasuk Sabah.

Sabah pada musim ini jelas agak terkesan di bahagian serangan mereka, apabila kelibat dua pemain import pasukan tersebut iaitu Neto Pessoa dan Jose Embalo gagal memberi persembahan menyakinkan.

Selain Darren, seorang lagi pemain yang dikhabarkan bakal menyertai pasukan tersebut ialah penyerang Terengganu iaitu Tchetche Kipre.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN