Penyerang berbisa negara, Darren Lok kini menjadi antara pemain paling bersemangat untuk mengharungi saingan Piala Asia 2023 di Qatar yang akan berlangsung tidak beberapa hari lagi.
Berada dalam Kumpulan E, pastinya Malaysia dianggap sebagai pasukan bukan pilihan jika dibandingkan negara lain jauh mempunyai reputasi lebih baik di pentas antarabangsa.
Untuk saingan Piala Asia ini, Malaysia bakal menghadapi tiga cabaran dari negara berbeza iaitu Jordan, Bahrain, serta Korea Selatan yang dianggap berada pada tahap lebih tinggi jika dibandingkan Harimau Malaya.
Malah ia diakui sendiri oleh Darren yang melihat cabaran bakal dihadapi mereka bukan calang-calang jika dilihat pada kedudukan semasa ranking bola sepak antarabangsa.
“Ia adalah sebuah kumpulan yang sukar, setiap pasukan dalam pertandingan ini kuat.
“Seperti yang saya katakan, kami perlu percaya, kami berjaya sampai ke peringkat ini dengan baik. Oleh itu, kami ke sini untuk bertarung dan berikan mereka cabaran hebat,” kata Darren menerusi laporan dikeluarkan oleh Harian Metro mengenai persiapan semasa Harimau Malaya.
Pada masa Darren memasang tekad tersendiri pada saingan kali ini untuk membuktikan Malaysia sebenarnya bukan lagi pasukan belasahan kepada negara-negara besar bola sepak.
“Malaysia sudah lama tidak berada dalam kejohanan ini. Kami sedar Piala Asia adalah satu kejohanan yang cukup besar.
“Kami lakukan dengan baik untuk sampai ke sini. Dan apabila di sini, kami ingin menikmatinya, dan kami ingin buktikan kepada semua yang kami berhak berada di sini. Semuanya telah bersedia dan teruja mengenainya,” katanya akhir sekali.
Untuk saingan kali ini, Darren antara penyerang paling mencuri tumpuan buat skuad kebangsaan menerusi rekod cemerlang beliau ketik bersama Sabah.
Malah momentum semasa penyerang bertubuh tegap itu di pentas Asia juga berada dalam keadaan cukup positif selepas beliau turut merekodkan beberapa jaringan bersama The Rhinos dalam saingan AFC.
Selain Darren, Kim Pan-gon turut mempertaruhkan Safawi Rasid, Akhyar Rashid, Faisal Halim, Mohamadou Sumareh, Paulo Josue, Faisal Halim, Arif Aiman Hanapi, serta Romel Morales selaku barisan penggempur negara.
Malah, kelibat Romel Morales pastinya antara menjadi perhatian para peminat bola sepak negara yang tidak sabar untuk melihat sejauh mana impak mampu diberikan penyerang naturalisasi ini buat Harimau Malaya.