“Daripada Tutup AMD, Lebih Baik Bubar FAM” – Pemilihan Pemain Divisyen 5 Jerman Dipertikai

Penyenaraian Annil Vigneswaran oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk bersama skuad bawah 22 tahun (B-22) kebangsaan untuk menghadapi aksi peringkat kumpulan Kelayakan Piala Asia B-23 2022 di Ulaanbaatar, Mongolia ternyata telah menimbulkan rasa tidak senang pelbagai pihak.

Ini bukan kali pertama Persatuan FAM membuat keputusan yang mengundang persoalan hingga membuatkan orang ramai mula tertanya-tanya adakah badan induk bola sepak negara itu begitu obses dengan pemain yang dikatakan ‘berkelana di Eropah’.

Sebelum ini mereka pernah memanggil pemain berusia 17 tahun yang beraksi untuk skuad remaja Chipstead FC, iaitu sebuah pasukan semi-profesional yang beraksi di Liga Istmian Divisyen Selatan Tengah, iaitu liga divisyen ke-8 dalam sistem liga bola sepak England untuk menyertai kem latihan pusat.

Adakah Di Mata FAM Kualiti Pemain AMD Lebih ‘Cikai’ Dari Pemain B-18 Kelab Divisyen Ke-8 England?

Tetapi yang terbaharu, keputusan FAM kali ini lebih mengejutkan. Mereka telah memberikan ‘keistimewaan’ kepada Annil Vigneswaran untuk terus terbang ke Ulaanbatar tanpa menilai pemain tersebut dalam mana-mana sesi latihan atau perlawanan ujian. Ajaib!

Bukankah ia sesuatu keputusan yang pelik dan janggal? Jika pemain ini merupakan seorang ‘wonderkid‘ atau pemain yang sudah diketahui umum tentang kehebatannya dan beraksi untuk kelab ternama di Eropah, mungkin kita boleh memahami logik akan tindakan tersebut.

Tetapi pemain berusia 18 tahun ini cumalah pemain skuad B-19 SGV Freiberg, sebuah pasukan yang beraksi di divisyen 5 Jerman, iaitu liga bukan profesional yang terdiri daripada ratusan kelab yang beraksi di 10 liga berbeza mengikut kawasan.

Struktur Divisyen 5 Jerman

Sebelum ini lagi Semuanya BOLA pernah mengutarakan satu persoalan buat FAM. Adakah di mata mereka, kualiti pemain Akademi Bola Sepak Negara Mokhtar Dahari (AMD) terlalu ‘haprak’ sehinggakan tiada pemain dari ‘akademi elit’ negara kita itu dipilih?

Adakah pemain-pemain ‘terpilih’ dari pelbagai peringkat saringan sama ada di MSSD, MSSM, Pusat Latihan Daerah (PLD) dan Sekolah Sukan Negeri (SSN) ini tidak cukup bagus untuk dibandingkan dengan pemain berusia 18 tahun yang kononnya ‘berpangkalan’ di Eropah?

Menurut satu ciapan oleh Bobby Brown di Twitter, Agnil Vigneswaran masih belum memperoleh sebarang minit permainan bersama skuad B-19 SGV Freiburg pada musim ini.

Maka tidak hairanlah mengapa keputusan Brad Maloney memilihnya berbanding bakat muda di negara ini yang lebih jelas tersusun pembangunan dianggap satu jenaka. Sehinggakan ada yang tertanya-tanya, ‘kabel’ jenis apa yang digunakan oleh pemain ini?

https://twitter.com/RabonaMike/status/1449644017856221185?s=20

Di AMD ketika ini bukannya tidak ada pemain yang perlu diberi perhatian. Malah ada di antara mereka merupakan penyandang juara kejohanan AFF B-15 yang berlangsung di Chonburi dua tahun lalu.

Walaupun pelatih-pelatih ini tidak didedahkan dengan perlawanan kompetitif disebabkan kekangan pendemik, tetapi sejak awal tahun lagi mereka semua sudah berada di latihan mereka di Gambang untuk menjalani latihan secara kem berpusat.

Sebagai ganti kepada perlawanan kompetitif yang tidak dapat dijalankan disebabkan pandemik, mereka didedahkan dengan perlawanan dalaman (sparring match) seperti AMD Challenge Cup dan lain-lain.

Ini bermakna dari segi fizikal dan mental, mereka sudah bersedia. Tetapi berdasarkan maklumat yang diterima, tidak pernah sekalipun barisan kejurulatihan mahupun ‘scouting’ Brad Maloney turun ke Gambang untuk menilai pemain-pemain ini.

Pesanan buat FAM, jika tidak yakin dengan bakat yang dihasilkan oleh Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) eloklah bubarkan sahaja program ini dan tutuplah AMD yang telah menelan belanja jutaan ringgit wang cukai rakyat Malaysia ini.

Ataupun sebenarnya FAM yang lebih patut dibubarkan?

Nyatakan pendirian anda di bawah ini.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN