Suatu ketika dahulu Rozaimi Abdul Rahman dianggap sebagai antara bakat muda terbaik pernah dimiliki oleh negara. Malah kelibat Rozaimi di hadapan gawang pasukan lawan pernah membuatkan beliau digelar ‘Neymar Malaysia’
Namun karier bola sepak berusia 29 tahun itu tidak seperti yang dirancang. Kecederaan akibat kemalangan jalan raya pada 2015 antara perkara yang dilihat membantutkan potensi pemain itu.
Dilepaskan oleh JDT pada 2020, Rozaimi kemudiannya menyertai Kedah pada musim lalu dalam usaha menghidupkan kembali karier sebagai pemain profesional.
Rozaimi sempat melakukan sembilan penampilan bersama pasukan dari utara tanah air itu sebelum kontrak beliau bersama Kedah ditamatkan secara persetujuan bersama.
Kembali ke Sabah
Pemain kelahiran Papar itu kini kembali ke negeri kelahirannya. Tetap ingin menabur bakti di dalam bola sepak, Rozaimi kini diberi peranan berbeza bersama Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA).
Menurut Naib Presiden SAFA, Dato Jelani Hamdan, Rozaimi kini dilantik sebagai Penolong Ketua Panel Pemilih & Pencari Bakat ( Assistant Chief Of Talent Scouting ) Sabah FC merangkap Ketua Media U21 pasukan itu .
“Dengan pelantikan ini beliau secara langsung terlibat membimbing dan melatih bakat-bakat baharu (dari Sabah,” ujar Jelani melalui perkongsian di Facebook peribadinya.
Di dalam skuad B-21 Sabah FC yang akan bermain di Piala Presiden pada tahun ini, Rozaimi akan digandingkan dengan legenda bola sepak negeri itu, Matlan Marjan untuk mempersiapkan pasukan yang mampu bersaing dengan pasukan-pasukan lain di pertandingan tersebut.
Masih ada peluang
Diberikan peranan untuk membina skuad Piala Presiden Sabah FC tidak bermakna Rozaimi tidak lagi mempunyai peluang meneruskan kariernya sebagai pemain bola sepak profesional selepas ini.
Menurut Jelani lagi, Rozaimi akan tetap diberikan peluang meyakinkan Ketua Jurulatih skuad utama Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee untuk kembali beraksi di saingan Liga Malaysia.
Seperti mana pemain lain, Rozaimi sebelum itu harus membuktikan kemampuan dan tahap kecergasan beliau berada di tahap terbaik untuk kembali beraksi di padang.
Rozaimi juga sebenarnya bukan watak asing bagi Ong Kim Swee kerana pernah menyarung jersi skuad Harimau Muda kendalian jurulatih itu sekitar tahun 2013, dan merupakan bekas anggota skuad B-23 negara.
Selain daripada JDT dan Kedah, Rozaimi turut pernah menyarung jersi pasukan Selangor dan Sarawak di saingan Liga Malaysia.
‘Di mana ada kehendak, di situ ada jalan’, buat Rozaimi Abdul Rahman, selamat maju jaya kami ucapkan!