Dari Sekolah Sukan Seri Titiwangsa, Danial Amier Intai Karier Gemilang Di JDT

Danial Amier JDT

Pemain tengah, Muhammad Danial Amier Norhisham mungkin tidak pernah menyangka beliau akan menyarung jersi Johor Darul Ta’zim (JDT) walaupun beliau sendiri tanpa berselindung mengakui memang berkeinginan untuk menyertai kelab tersebut.

Tetapi, segalanya sudah tertulis pada 22 Disember tahun lalu apabila pemain kelahiran Kuala Lumpur yang mesra dengan panggilan ‘Boy’ dalam kalangan rakan sepasukanya itu sah diikat kelab gergasi tanah air tersebut dengan kontrak selama dua musim.

Daripada musuh yang perlu dihadapi dalam perlawanan Liga Malaysia, beliau kini sudah berkongsi padang latihan di Johor Bahru bersama pemain-pemain hebat seperti Safawi Rasid, Matthew Davies, La’Vere Lawrence Corbin-Ong, Leandro Velasquez, Gonzalo Cabrera dan ramai lagi.

Di sebalik langkah bergaya keluar dari Chrysler 300 Limousine yang membawanya ke Ibu Pejabat JDT ketika video pengenalan pemain tempoh hari, pernah terdetik di minda Danial untuk melupakan terus sukan nombor satu di jiwanya itu pada usia remaja.

Serba ringkas mengenai Danial Amier Norhisham

Lahir pada 27 Mac 1997, Danial Amier cukup bertuah kerana ibu bapanya begitu memberikan galakan buatnya sejak dari kecil untuk menjadi pemain bola sepak profesional.

Hal ini kerana seawal usia 6 tahun, beliau telah dihantar ke akademi bola sepak yang ketika itu dikendalikan oleh salah sebuah institusi perbankan. Peluang yang diberikan tidak disia-siakan oleh Danial sehingga beliau berjaya mewakili Kuala Lumpur dalam kejohanan Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) ketika berusia 11 tahun.

Kualiti baik yang dimilikinya telah membuka ruang buat Danial untuk melanjutkan pelajaran ke Sekolah Sukan Wilayah Persekutuan Seri Titiwangsa dan masa depan lebih cerah buat beliau apabila menyertai Frenz United pada tahun 2014.

Pernah berhasrat lupakan terus bola sepak

Ketika melihat Frenz United mampu menjadi landasan yang tepat buat beliau untuk mengintai peluang ke pentas lebih tinggi dalam kancah bola sepak tempatan, awan mendung bagaimanapun menyinari karier Danial selepas akademi tersebut terpaksa dibubarkan pada tahun 2016 susulan masalah dihadapi.

Menurut sumber Harian Metro pada Mac 2018, Danial Amier mendedahkan bahawa bekas Pengarah Teknikal Frenz United, Steve McMahon pernah cuba untuk membawanya ke Australia bagi menyertai Dunbar Rovers.

Namun, masalah visa menjadi penghalang dan keadaan tersebut membuatkan Danial begitu tertekan apabila tiada pasukan yang berminat untuk mendapatkan khidmatnya pada ketika itu.

Sepanjang tempoh menanti peluang tersebut menjelma, Danial mengambil inisiatif dengan menjual stoking bagi mendapatkan wang perbelanjaan kerana tidak mahu membebankan ibu bapanya.

Ketika itu juga sudah mula terdetik di benak pemikirannya untuk melupakan terus bola sepak dan mencari pekerjaan lain sekiranya masih tiada pasukan mahu merekrutnya sehingga penghujung tahun 2016.

B. Satiananthan hadir beri ‘talian hayat’, rintis laluan ke Padang Seri Gelam

Ketika merasakan sudah tiada peluang buatnya untuk bertapak dalam kancah bola sepak tempatan, B. Satiananthan yang ketika itu membimbing Felda United memberikan kesempatan buat Danial Amier untuk membarisi skuad The Fighters bagi menghadapi musim 2017.

Peluang itu digunakan sepenuhnya oleh Danial dalam membuktikan kemampuannya apabila berjaya mencuri perhatian Datuk Ong Kim Swee untuk memperkuatkan jentera tengah skuad Kejuaraan AFC B-23 2018 di mana jaringan menariknya ketika menewaskan Arab Saudi telah mencipta sejarah membawa Malaysia ke suku akhir.

Daniel turut diberikan kepercayaan oleh Tan Cheng Hoe untu  membuat penampilan bersama skuad senior kebangsaan pada perlawanan persahabatan menentang Jordan, Ogos 2019.

Danial tidak lagi memandang ke belakang dalam meningkatkan kualiti permainannya sekali gus menarik minat pemilik JDT, DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor untuk membawanya ke JDT.

Bagai orang mengantuk disorongkan bantal, Danial juga mengimpikan untuk menyarung jersi Harimau Selatan tetapi kerana beliau masih terikat kontrak semusim dan klausa perlepasan tinggi diletakkan Felda United menggagalkan usaha TMJ pada tahun 2020.

Ketika kontraknya sudah hampir berakhir, JDT tidak berlengah lagi untuk membawa masuk Danial bagi memantapkan jentera tengah skuad bimbingan Benjamin Mora itu.

Penutup

Mimpi yang menjadi kenyataan buat Danial Amier Norhisham ini menjadi satu isyarat jelas tiada yang mustahil dalam bola sepak meskipun ada satu ketika beliau sudah putus harapan untuk terus mengejar cita-citanya menjadi seorang pemain bola sepak profesional.

Namun, dapat menyertai sebuah kelab yang berada di kelas tersendiri bukan tugas mudah juga buat Danial kerana beliau perlu merebut tempat dengan pemain-pemain berkualiti seperti Natxo Insa, Lucas Velasquez, Nazmi Faiz Mansor dan Afiq Fazail.

Menarik untuk disaksikan bagaimana pemain berusia 24 tahun ini dapat membuktikan kemampuannya di sana sekali gus menggapai impian untuk menggapai  sesuatu yang lebih tinggi dalam kariernya.

Kredit featured image: JOHOR Southern Tigers

Baca artikel lain dari kami mengenai Danial Amier Norhisham:

Danial Amier: Kalau Fikirkan Takut Duduk Bangku Simpanan, Saya Tak Sertai JDT

Danial Amier Akui Teringin Sertai JDT Namun Tetap Hormati Kontrak

RASMI: JDT Umum Kehadiran Danial Amier Norhisham

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN