‘Dari Segamat Ke Chiang Mai’ – Kisah Pengembaraan Sejauh 2,500 Km Dengan Kereta Api Demi Harimau Malaya

Rakyat Malaysia tentunya berbangga dengan kejayaan skuad negara menewaskan pasukan jiran Thailand dalam aksi separuh akhir kejohanan jemputan Piala Raja Thai di Stadium Ulang Tahun ke-700 Chiang Mai tempoh hari.

Namun apa yang mencuri tumpuan pada perlawanan tersebut adalah, di dalam kebanjiran hampir 16 ribu penyokong di venue berkenaan, terdapat sebilangan kecil rakyat Malaysia yang hadir untuk memberi sokongan kepada skuad Harimau Malaya.

Dalam kalangan hampir 20 orang warga Malaysia itu adalah Muslimen Mudaser, seorang pemuda berasal dari Segamat, Johor yang mempunyai cara cukup unik untuk tiba di wilayah jauh di utara negeri gajah putih ini.

Berbekalkan semangat cintakan negara, beliau yang selesa disapa dengan gelaran ‘Mus’ memilih untuk hadir ke Chiang Mai dengan menggunakan laluan darat menaiki kereta api yang jaraknya kira-kira 2,500 kilometer.

Dari bidang kejuruteraan kepada penyelam profesional

Selaku graduan dalam bidang kejuruteraan minyak dan gas, pemuda berusia 29 tahun ini merasakan industri tersebut sukar untuk ditembusi dan akhirnya memilih kerjaya dalam bidang elektronik di sebuah kilang di Senai, Johor.

Bagaimanapun selepas beberapa tahun di dalam industri berkenaan, jiwanya mula merasakan ‘keserabutan’ dan timbul keinginan untuk mencari kelainan dalam meneruskan kehidupan sementara usianya masih muda.

Secara kebetulan, terdapat rakan sekerja yang mengajaknya untuk turut serta dalam aktiviti menyelam. Tetapi beliau tahu ia bukanlah hobi yang ‘murah’.

Pulau Tioman menjadi lokasi pertamanya untuk berjinak-jinak dalam menceburi sukan tersebut. Selepas satu demi satu trip menyelam ditempuhi, beliau dapat merasakan ia begitu serasi dengan jiwanya.

Bermula daripada keinginan, ia akhirnya berubah menjadi sebuah keseronokan. Lalu bertekad untuk mengambil lesen yang diiktiraf oleh Persatuan Pengajar Menyelam Profesional (PADI) dan menjadikannya sebagai kerjayanya sehingga hari ini.

Mus Harimau Malaya

“Daripada situ, saya terus ambil lesen yang lebih tinggi dan lebih tinggi. Benda dah ‘sedap’,” ujarnya yang kini menetap di Pulau Tioman.

“Tambah pula dah beli pelbagai alatan, harga bukannya murah, makan modal. Jadi takkan nak berhenti. Jadi bila dah ada lesen yang diiktiraf antarabangsa, kelebihannya kita boleh bekerja dalam bidang ini dalam masa yang sama kita dapat mengembara ke seluruh dunia.”

Meneroka dunia

Pengembaraan secara solo sudah pasti memerlukan keberanian. Bagaimanapun ini bukanlah pengalaman pertamanya mengembara dengan kereta api kerana pernah melakukan hal yang sama ketika di India dan Indonesia.

Walaupun dari segi kelajuan ia mungkin tidak sepantas kenderaan lain, namun baginya pengalaman serta ketenangan menikmati pemandangan sepanjang perjalanan itu menjadikannya ia begitu ‘mahal’.

“Daripada dulu memang saya dah minat mengembara dengan kereta api. Saya rasa ia berbeza dengan pengalaman menaiki bas, kereta atau kapal terbang kerana ‘ketagihannya’ lain macam,” ujarnya lagi.

“Dulu saya belajar di Kelantan, jadi dari Segamat saya akan menaiki kereta api. Ulang alik pulang ke kampung itulah kenderaannya bersama kawan-kawan dari Johor yang lain.”

Untuk perjalanan ke Chiang Mai, Muslimen telah pun membuat perancangan rapi dari segi penjadualan, tempahan penginapan dan sebagainya.

Perjalanannya bermula dari Stesyen Keretapi Segamat menuju ke Pasir Mas, Kelantan. Kemudian mengambil teksi ke sempadan Malaysia-Thailand di Rantau Panjang untuk menaiki kereta api seterusnya di pekan Golok.

Diintip pihak keselamatan

Semasa dalam sewaktu perjalanan ke Hatyai, beliau berdepan dengan pengalaman disoal siasat oleh tentera Thailand yang meragui keberadaannya di dalam gerabak bersama sebuah beg besar.

Walaupun telah memberi penjelasan serta menunjukkan segala dokumen perjalanan, tempahan tiket, penginapan dan sebagainya, beliau terus diintip oleh pegawai tentera berkenaan setelah mendaftar masuk sebuah hostel di Hatyai sehinggalah keesokan harinya.

Perkara tersebut hanya disedari selepas ia diceritakan oleh petugas di bahagian kaunter hostel yang mamaklumkan mereka telah disoal siasat oleh pegawai tentera berkenaan sama ada beliau benar-benar telah membuat tempahan awal.

“Mungkin ia adalah perkara biasa kerana ada juga beberapa pengembara lain dari Malaysia yang pernah berkongsi pengalaman yang sama. Sehinggakan saya makan pun dia akan makan di kedai yang sama.

“Rupanya-rupanya selepas saya kaji, berlaku serangan oleh puak pemisah di sekitar Yala sekitar dua minggu sebelum saya masuk ke Selatan Thailand itu.

“Yang menyelamatkan saya mungkin dokumen tempahan tiket balik dari Ho Chi Minh City, Vietnam ke Singapura yang membuktikan saya benar-benar seorang pengembara dan mempunyai perancangan rapi untuk balik ke Malaysia.”

Keindahan Pai

Tiba di Bangkok dengan selamat, perjalanan Muslimen diteruskan dengan kereta api ke Chiang Mai dan beliau tiba 4 hari sebelum perlawanan pertama Malaysia dalam saingan Piala Raja Thai.

Kesempatan tersebut digunakan sebaiknya untuk menjelajah sekitar bandar tersebut melawat tempat-tempat menarik menggunakan mosikal yang disewa dengan harga yang berpatutan.

“Ada satu tempat di kawasan perbukitan yang bernama Pai terletak 130 kilometer dari sini. Bayangkan saya menunggang motosikal ke sana pada waktu pagi dalam cuaca hujan, dengan saya tiada baju hujan dan kabus yang tebal, sejuknya susah nak digambarkan.

“Tetapi ia dibayar dengan pengalaman yang cukup luar biasa. Pemandangan alam semula jadinya begitu indah. Saya juga sempat melakukan aktiviti menanam padi dengan membantu seorang warga tua di sana.

“Pada awalnya saya hanya mahu menginap satu malam sahaja di Pai. Tetapi apabila tiba di sana saya jumpa satu tempat yang dihuni oleh komuniti muslim bagi memudahkan saya untuk cari makan dan solat, lalu saya memutuskan untuk menginap satu malam lagi.”

Penutup

Tempoh hari Muslimen hadir ke stadium bersama seorang rakan pengembara dari Australia yang dikenalinya ketika menginap di Chiang Mai.

“Saya belanja dia tiket, tak mahal pun harga dalam 100 Baht (RM12.00) sahaja. Tapi saya beri syarat dia kena sokong Malaysia,” katanya sambil tertawa.

“Apa yang menarik, sepanjang hidup itu merupakan pengalaman pertamanya ke stadium. Punyalah dia gembira, bersorak dan menjirat. Dia juga mengakui kagum melihat suasana penyokong yang bersemangat dan begitu fanatik.”

Muslimen akan meneruskan perjalanannya meneroka sejarah landasan keretapi maut di Kanchanaburi. Beliau kemudian merancang untuk ke Vientiene, Laos sebelum mengakhiri pengembaraannya di Vietnam.

Di hujung temubual bersama ‘ekor harimau sejati’ ini, beliau sempat memberi pesanan kepada mereka yang mahu mengembara sama ada di dalam mahupun di luar negara.

“Banyak perkara menarik yang kita boleh dapat apabila berjalan ke tempat orang. Cuma saya rasa boleh buat semua benda ini sebab saya belum berkahwin, jadi saya tak ada komitmen yang mengikat. Jadi sementara mmasih bujang, lihatlah dunia.”

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN