Dari Kedah Ke Melaka, Akmal Zahir Kini Jalani Musim Terbaik Bersama MU

Akmal Zahir

Pertahanan Melaka United, Akmal Zahir mengakui musim 2021 adalah pencapaian terbaiknya selepas menjadi antara tunjang utama pasukan untuk layak ke suku akhir Piala Malaysia 2021.

Pemain dari Kedah ini pernah bersama Melaka pada musim 2017 yang menyaksikan skuad itu berjaya mara sehingga ke suku akhir Piala Malaysia, namun kudratnya kurang digunakan berbanding pada musim ini apabila diletakkan dalam kesebelasan utama untuk empat perlawanan di peringkat kumpulan.

Nyata, Akmal berjaya memikat hati pengendalinya, Zainal Abidin Hassan untuk kerap kali diturunkan membantu pasukan selain mampu cipta gandingan terbaik bersama-sama Jang Suk-won di kubu pasukan.

“Saya pun tidak jangka sebenarnya apabila sentiasa diturunkan, cuma kalau saya dah dapat peluang itu, saya akan pastikan untuk memberikan yang terbaik.”

“Boleh dikatakan ini adalah pencapaian terbaik untuk karier saya pada tahun ini dalam saingan tertinggi kalau nak dibandingkan pada musim-musim lalu.”

“Apa yang saya buat untuk pikat hati jurulatih adalah ketika dalam latihan, contohnya kalau saya tidak diturunkan beraksi sekalipun, saya tetap akan tunjuk kesungguhan dalam latihan dan InsyaAllah saya akan teruskan momentum ini untuk beraksi dengan lebih baik”, katanya.

Pemain berusia 27 tahun ini juga pernah beraksi bersama UKM pada musim 2019 sebelum kembali dipanggil menyertai Melaka pada musim lalu.

Menjelang suku akhir pertama berdepan Sabah pada Ahad ini, Akmal tidak memandang rendah terhadap skuad bimbingan Datuk Ong Kim Swee apatah lagi selepas mereka mencipta kejutan bangkit pada dua perlawanan terakhir untuk raih kemenangan sekali gus mara ke suku akhir.

Apa yang pasti, Melaka United perlu membawa bekalan selesa untuk cuba meraih seberapa banyak jaringan di Stadium Likas bagi lebih bersedia berdepan suku akhir kedua di laman sendiri pula.

“Pastinya kami akan beri momentum yang sama berdepan Sabah dan kita tidak menganggap Sabah ini pasukan ‘underdog’ kerana mereka mesti ada kekuatan yang kita tidak boleh ambil mudah.”

“Bagi saya, peluang itu terbuka untuk mana-mana pasukan, dan kami di Melaka United kena terus konsisten untuk memastikan pasukan tidak tersingkir kali ini.”

“Insya Allah macam-macam mana pun, kita kena ambil kelebihan beraksi di tempat lawan untuk cuba raih gol sebanyak mungkin bagi dibawa pulang ke Melaka nanti”, tambahnya.

Selain aksi Sabah dan Melaka United, tiga lagi perlawanan suku akhir pertama akan berlangsung pada Ahad membabitkan pertembungan antara Selangor dan Kuala Lumpur City, Terengganu menentang Sarawak United manakala Kedah Darul Aman akan berdepan Johor Darul Ta’zim (JDT).

Sumber:

Leave a Reply