Dari Akademi Felda United, Zakwan Zamri Kembali Bina Impian Bola Sepak Bersama Thai Selangor FC

Setiap impian pasti memerlukan langkah pertama untuk melakukannya. Dan untuk mengecapi kejayaan dalam apa bidang pun, ia memerlukan pengorbanan, kerja keras, dan fokus demi memastikan sasaran itu mampu dicapai. Sesetengah orang diberikan platform terbaik untuk melakukannya. Sebahagian lagi pula terpaksa melalui laluan berliku demi merealisasikan cita-cita itu.

Demikianlah kisah ringkas anak muda bernama Zakwan Zamri yang kini beraksi sebagai penyerang di Liga M4 bersama Thai Selangor FC.

Anak kelahiran Rantau Panjang

Zakwan Zamri dilahirkan pada 20 Jun 1996, dan berasal dari Kampung Gual Tok Deh, Rantau Panjang di Kelantan. Sejak dari zaman kanak-kanak lagi Zakwan dikenali sebagai seorang anak yang sangat gilakan sukan bola sepak.

Selepas tamat SPM pada 2013, anak muda ini dipilih untuk menyertai akademi bola sepak Felda United dan menyertai pasukan belia pada 2015. Selepas itu Zakwan beraksi bersama skuad Piala Presiden The Fighters pada tahun berikutnya.

Pendorong utama Zakwan untuk berkecimpung di dalam dunia bola sepak secara serius sudah tentulah ahli keluarganya sendiri, terutama ayah dan ibu. Idolanya pula adalah Indra Putra Mahayuddin dan juga bintang Brazil, Neymar.

Zakwan Zamri, berjersi No.10 meraikan jaringan bersama pemain Thai Selangor.FC yang lain.

Berbeza dengan remaja lain pada usia muda, kebanyakkan ibu bapa mahu melihat anak lebih dekat dan serius terhadap akademik.

Bagi ayah dan ibu Zakwan pula, mereka membenarkan anak mereka itu bebas untuk mengejar cita-cita peribadi, sesuai dengan minat masing-masing.

Musim seterusnya pula, beliau membawa diri ke Ipoh untuk menyertai skuad Piala Presiden Perak TBG. Menariknya mengenai pemain ini, beliau boleh beraksi di beberapa posisi berbeza – sama ada sebagai bek kiri, pemain sayap kiri, atau pun sebagai penyerang utama pasukan.

Secara keseluruhan, Zakwan mempunyai pengalaman hampir lima tahun beraksi di pelbagai peringkat pertandingan tempatan – termasuk Piala FAM – ketika menyarung jersi DBKL FA – sebelum khidmat beliau disambar Thai Selangor FC pada musim ini.

Bukan laluan mudah

Pemain muda penuh potensi ini hanya beraksi semusim bersama DBKL FC di pertandingan Piala FAM. Selepas itu beliau seperti bergantung tidak bertali setelah DBKL FC memutuskan untuk tidak menyertai Liga M3 yang diperkenalkan pada musim 2019.

Pada ketika itu, keadaan amat rumit buat anak muda ini. Tetapi semangat beliau untuk bergelar pemain bola sepak tidak pernah luntur. Disebabkan tiada pasukan, Zakwan terdesak untuk mencari sebuah kelab Liga Sosial yang sekurang-kurangnya membenarkan beliau berlatih untuk mengekalkan tahap kecergasan dirinya.

Zakwan kemudian menyertai sesi pemilihan Thai Selangor Football Club (TSFC), setelah kelab tersebut diperkenalkan oleh seorang rakan untuk berbuat demikian.

Zakwan Zamri (jersi No.10) menggelecek melepasi pertahanan lawan.

Tidak sukar untuk menilai bakat seorang pemain. Aksi Zakwan pantas mencuri tumpuan pasukan kejurulatihan TSFC. Dilemanya hanya satu. TSFC bukanlah sebuah kelab profesional yang mampu membayar jumlah pendapatan yang tinggi untuk pemain.

Akhirnya TSFC dan Zakwan tampil dengan penyelesaian. Antara yang ditawarkan kepada Zakwan ialah pekerjaan di Healthland Wellness Center., dengan harapan ia serba sedikit dapat membantu beliau.

Pernah dilamar pasukan Liga M3

Selain daripada pengalaman beraksi di Piala FAM, Zakwan juga sempat beraksi di Liga Selangor bersama Teleflow FC pada musim ini. Beliau beraksi bersama Teleflow FC sebagai pemain pinjaman pada ketika itu, sehingga ke penghujung musim.

Ini selepas Teleflow FC terpikat dengan aksi Zakwan ketika pemain itu tampil dalam satu perlawanan persahabatan membabitkan TSFC dan Teleflow. Malah kelab Liga Selangor itu sanggup membayar RM10,000 sebagai sebahagian daripada perjanjian dengan TSFC untuk mendapatkan khidmat Zakhwan.

Zakwan Zamri sempat menjaringka 4 gol untuk Teleflow FC. Sumber: www.liga.fas.my

Selesai kempen Liga Super Selangor, Zakwan kembali memperkuatkan Thai Selangor FC untuk saingan Liga M4. Diantara tempoh itu, beberapa kelab dari Liga M3 turut cuba memancing khidmat pemain ini.

Sayangkan TSFC

Zakwan boleh sahaja memilih untuk meninggalkan TSFC dan menyertai pasukan yang lebih besar di Liga M3. Namun anak muda ini mahu bangkit bersama-sama kelab yang telah membantu beliau kembali membina keyakinan di dalam bola sepak. Ia juga untuk membalas budi Ketua Pegawai Eksekutif TSFC yang menawarkan peluang pekerjaan untuk beliau, sambil beraksi bersama TSFC.

Niat beliau ialah untuk membantu TSFC memenangi slot ke Selangor Champions League pada musim ini. Setakat ini, Zakwan sudah pun meledak 14 gol dari keseluruhan 43 gol yang dijaringkan oleh TSFC setakat ini di Liga Komuniti Puchong. Ketajaman penyudah Zakwan, menyebabkan beliau digelar ‘Lethal Weapon’ di kalangan penyokong TSFC.

10 perlawanan tanpa kalah dan hanya seri sekali membolehkan Thai Selangor FC menerajui liga setelah pencabar utama Nadi…

Posted by Liga Komuniti Puchong on Wednesday, July 3, 2019

Sekiranya Zakwan dan Thai Selangor FC mampu mengekalkan rentak cemerlang seperti yang dipamerkan setakat ini, maka kelab ini akan diberikan slot play-off untuk melayakkan diri ke Liga M3 pada musim hadapan sebagai juara Liga Komuniti Puchong.

Rumusan

Kelebihan utama pemain ini ialah kerana kegigihan beliau ketika melakukan latihan. Sekiranya berpeluang di masa hadapan, Zakwan mahu mengintai peluang untuk beraksi bersama-sama kelab Liga Super atau pun Liga Perdana Malaysia.

Untuk bulan Jun, Zakwan adalah pemain terbaik Liga Komuniti Puchong selepas berjaya menjaringkan lima gol, dan menghasilkan dua bantuan gol untuk rakan sepasukan dalam dua perlawanan.

Siapa tahu, dengan kegigihan dan kesungguhan yang beliau tampilkan pada hari ini, sesuatu yang lebih besar bakal menanti Zakwan pada masa hadapan.

Buat Zakwan Zamri dan Thai Selangor FC, selamat maju jaya kami daripada kami.

 

 

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN