Chelsea berjaya menamatkan penantian pada lewat jendela perpindahan untuk membawa masuk Danny Drinkwater dari Leicester City.
Danny Drinkwater menandatangani perjanjian selama lima tahun di Stamford Bridge ketika Antonio Conte mengakhiri jendela perpindahan yang mengecewakan dengan mendapatkan sasaran utama beliau itu.
Pemain berusia 27 tahun itu akan kembali bersatu dengan bekas rakan sepasukan N’Golo Kante selepas pasangan itu membentuk gandingan tengah yang padu untuk membantu Leicester City meraih gelaran liga pada tahun 2016.
Drinkwater masih belum bermain untuk Leicester musim ini disebabkan oleh kecederaan peha tetapi berkemungkinan dapat membuat penampilan pertamanya ketika The Blues bakal berkunjung ke kelab lamanya di King Power Stadium pada 9 September.
Leicester berkata dalam satu kenyataan bahawa mereka telah menerima bayaran rekod kelab bagi penjualan Drinkwater itu, dengan laporan menunjukkan bayaran diterima sekitar £ 35 juta.
Drinkwater pula memberitahu kepada laman web kelab barunya: “Saya gembira menjadi pemain Chelsea dan tidak sabar untuk bermula.
“Ia telah menjadi perjalanan panjang untuk ke sini tetapi saya sangat gembira dan tidak sabar untuk membantu kelab memenangi lebih banyak trofi.”
Pengarah teknikal Chelsea, Michael Emenalo menambah: “Danny bukan hanya pemenang Liga Perdana tetapi juga mempunyai pengalaman Liga Juara-juara yang sangat berharga buat kami musim ini.
“Dia adalah pemain tengah England yang menyerang dengan teknik hantaran berseni dan ketibaannya dengan jelas mampu untul menguatkan pilihan di bahagian tengah kami.”
Dalam perkembangan lain, Chelsea terlebih dahulu berjaya mendapatkan pertahanan kanan Torino, Davide Zappacosta dengan rundingan sekitar £ 23 juta.
Kelab Serie A itu mengesahkan perjanjian itu dilakukan tidak lama selepas jendela perpindahan ditutup pada malam Khamis.
Chelsea kemudian mengesahkan Zappacosta yang berusia 25 tahun telah menandatangani kontrak empat tahun dan menjadi pembelian kelima kelab pada perpindahan musim panas Chelsea yang sukar ini.
“Ia adalah mimpi bagi saya untuk menyertai Chelsea dan bermain di Liga Perdana Inggeris,” kata Zappacosta dalam satu kenyataan.
“Saya sangat teruja berada di sini dan mula bekerja dengan pasukan dan berharap dapat menunjukkan kualiti saya kepada jurulatih, rakan sepasukan saya serta para penyokong Chelsea.”
Kehadiran Zappacosta sudah pasti akan memberika persaingan sihat dan perlindungan kepada Victor Moses di bahagian sayap kanan.
“Davide (Zappacosta) adalah seorang pemain antarabangsa yang berkaliber dimana Antonio Conte tahu dengan baik mengenainya. Kami sangat gembira dapat membawanya ke kelab dan percaya dia akan menjadi pemain yang penting buat pasukan. ” Kata Micheal Emenalo mengenai rekrut terbarunya itu.
Sumber :
Talksport (2017) – https://talksport.com/football/chelsea-fc-transfer-news-danny-drinkwater-completes-last-gasp-deadline-day-switch-leicester
ESPN FC (2017) –http://www.espnfc.com/story/3193315/chelsea-complete-danny-drinkwater-deal-and-a-23m-pound-deal-for-torino-defender-davide-zappacosta