Pemain bola sepak berprofil tinggi pertama di Itali dan Eropah yang disahkan positif COVID-19, Daniele Rugani mendedahkan bahawa beliau ketika kini berada dalam keadaan baik dan tidak mengalami simptom teruk wabak tersebut seperti yang dilaporkan sebelum ini.
Rugani disahkan positif pada minggu lalu dan keadaan yang menimpa pemain tersebut menjadi antara faktor awal menyebabkan hampir kesemua liga bola sepak utama dunia terpaksa dihentikan buat sementara waktu.
Menurut sumber Goal, pemain pertahanan tengah Juventus itu berkongsikan mengenai keadaan terkini beliau selepas berita yang amat menggemparkan dunia bola sepak itu.
”Saya mahu meyakinkan semua orang dengan mengatakan bahawa saya baik-baik sahaja. Saya cukup baik. Saya tidak mempunyai gejala serius seperti yang dilaporkan.”
”Saya menganggap diri saya bertuah walaupun ini adalah tamparan hebat juga kerana saya adalah yang pertama dalam persekitaran ini [bola sepak] dan berkhidmat dalam meningkatkan kesedaran kepada sesiapa yang tidak memahami betapa seriusnya masalah ini.”
”Saya berkeseorangan di dalam hotel dan saya perlu untuk tinggal di sini dengan lebih lama.”
”Pengasingan [kuarantin] ini sangat panjang dan membosankan, bagi saya untuk semua orang, sebaik sahaja saya keluar, saya akan pergi ke orang yang saya rindu dan sayangi,” ujar Rugani.
Sepanjang tempoh kuarantin yang sedang dihadapinya itu, Rugani mengakui beliau banyak menghabiskan masa dengan menonton drama bersiri, Peaky Blinders dan juga membaca novel Harry Potter untuk meningkatkan penguasaan bahasa inggeris.
Sebanyak 24,747 kes COVID-19 dicatatkan di Itali dengan 1,809 kematian setakat ini. Dalam pada itu, di Malaysia juga sudah terdapat dua kematian yang baharu sahaja diumumkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.
Kredit foto: Loris Roselli/NurPhoto via Getty Images