Mungkin ini debut yang akan diingati penyerang Selangor FC, Danial Asri apabila telah meledak gol penyamaan buat skuad B-23 negara sebelum berjaya mengatasi Thailand 2-1 dalam aksi pertama Sukan SEA 2021.
Berusia 22 tahun, Danial Asri tidak pernah terlibat dengan panggilan skuad kebangsaan sebelum-sebelum ini sebagaimana pemain-pemain seangkatannya malam tadi. Diturunkan sebagai penyerang utama bergandingan bersama majoriti produk Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP), beliau ada memberikan impak.
Bukanlah tidak berada dalam sistem tersebut, namun beliau tidak pernah berpeluang tampil di peringkat yang lebih tinggi. Menurut perkongsian Twitter, Youth Football Malaysia, Danial Asri adalah produk Pusat Latihan Daerah (PLD) Kuala Selangor. Bermakna, beliau pernah berada dalam piramid sistem NFDP sebelum ini.
Untuk memahami bagaimana sistem NFDP, para pembaca boleh rujuk semula artikel Semuanya BOLA di atas.
Danial Asri pernah berada di peringkat kedua piramid NFDP yang merangkumi lima peringkat sehinggalah ke Akademi Mokhtar Dahari (AMD) atau dikenali Skuad Elit. Berbanding rakan sepasukannya semalam, majoritinya pernah berada di AMD selain Sekolah Sukan Negeri (SSN) dan juga Sekolah Sukan Malaysia (SSM atau SSBJ).
Mungkin disebabkan itu, adakalanya beliau nampak kekok kerana inilah kali pertama beliau bermain di peringkat kebangsaan dan bermain bersama mereka. Begitupun, beliau melalui malam yang sangat baik apabila memiliki beberapa peluang meledak gol sebelum jaringan pertamanya tiba di minit ke-61 – dengan menggunakan lutut!
Hadi Fayyadh pernah masuk Sekolah Sukan Malaysia Pahang kemudian ke Frenz
Secara teknikalnya batch2 AMD/NFDP juga pernah bersekolah di SSBJ, SSMP dan SSTMI sebelum AMD bertukar kepada sukatan IGCSE
Danial Asri produk PLD Kuala Selangor
Ubaidullah SM Ibrahim Fikri (feeder AMD)
— Youth Football Malaysia (@youthfootballmy) May 7, 2022
Bekas kapten Selangor 3 ini telah tampil cemerlang dalam saingan Liga Malaysia sejak beberapa musim kebelakangan ini, malah merupakan penjaring terbanyak tempatan Liga Premier 2020 bersama Selangor 2.
Dipromosi ke skuad utama pada 2021, Danial Asri terus tampil baik bergandingan bersama Ifedayo Olusegun dan beraksi dalam hampir semua aksi liga – 21 penampilan dengan lapan kali dalam kesebelasan utama.
Beliau boleh dikatakan memiliki pakej lengkap sebagai seorang penyerang berkualiti. Beliau bijak menghidu peluang, sentuhan yang tajam, bekerja keras untuk pasukan dan sangat komited di dalam dan luar padang.
Dan beliau berhasil meledak jaringan pertama dalam saingan Liga Super 2021 ketika Selangor menewaskan Penang FC dengan keputusan 4-1 pada 31 Julai tahun lalu. Dan sejak itu, beliau sudah mendapat rentak untuk mencetak gol dalam saingan tertinggi Liga Malaysia itu. Di penghujung musim beliau mengumpul tiga gol.
Untuk musim ini, peluangnya sedikit terhad, namun secara puratanya, ia masih dalam lingkungan minit permainan yang sama iaitu sekitar 30 minit dalam satu perlawanan. Berdepan Laos, adakah Danial Asri akan berada dalam kesebelasan utama lagi untuk berganding bersama ‘Budak Emas’ negara, Luqman Hakim.