Pemain tengah Kuching City, Danial Amier antara pemain paling menonjol ketika pasukan tersebut terikat seri bersama Sri Pahang dalam aksi kedua Liga Super musim 2024/2025.
Pada aksi tersebut, Sri Pahang seolah-olah kehilangan punca pada separuh masa pertama untuk tampil beraksi dengan baik apabila setiap gerakan dicipta mereka begitu mudah dibaca pasukan lawanz
Walaupun begitu, ada siri kebangkitan terbaik dilakar mereka khususnya pada pertengahan separuh masa kedua sehingga Tok Gajah mampu mengikat pasukan tuan rumah.
Keputusan 2-2 diraih Kuching City jelas menjadi isyarat mereka tampil pada musim ini bukan sekadar pelengkap jadual seperti dilakukan pada tahun lalu.
Hadir dengan corak permainan lebih berkualiti, skuad kendalian Aidil Sharin tidak menghadapi begitu banyak cabaran daripada pasukan pelawat sepanjang separuh masa pertama perlawanan.
Sebaliknya Sri Pahang pula gagal mengulangi momentum cemerlang pada aksi lalu ketika mereka menewaskan Kelantan Darul Naim (KDN) selepas segalanya tampil serba serbi tidak menjadi sebelum mereka kembali bangkit.
Melihat kepada aksi lalu, tiga pemain Kuching City boleh dianggap paling cemerlang ketika mereka seri serta memastikan tiada kekalahan terhasil selepas mengharungi dua perlawanan.
Danial Amier
Pemain tengah tersebut mungkin sedikit senyap pada musim lalu dan kurang menjadi perhatian dalam kalangan pemerhati bola sepak, sebelum musim ini dirinya bermula dengan begitu baik.
Selepas tampil memastikan Kuching City mengikat Kuala Lumpur City (KL City) 1-1, Danial terus cemerlang selaku perancang utama buat pasukan itu minggu ini ketika menewaskan Sri Pahang.
Selain tenang mengawal tempo permainan, Danial juga dilihat sangat kreatif menyusun setiap pergerakan pasukan selain memiliki kreativiti mencipta lorongan buat rangkaian serangan untuk mengatasi pemain tengah serta pertahanan lawan.
Yuki Tanigawa
Rangkaian serangan Sri Pahang seolah gagal untuk berfungsi terutama sekali di separuh masa pertama apabila kelibat Tanigawa berjaya merosakkan setiap pergerakan pelawat.
Tampil dengan begitu agresif, Tanigawa memastikan setiap pemain lawan tidak dapat mengawal bola dengan lebih lama apabila beliau cepat menutup serta memberi asakan keras.
Gandingan beliau bersama bintang dari Nigeria, James Okwuosa wajar diberi pujian kerana disiplin serta masing-masing berjaya menyerap segala tekanan diberikan oleh Tok Gajah terutama sekali pada babak pertama.
Jordan Mintah
Aksi serta gol diledak beliau pada perlawanan itu boleh dianggap sebagai kebangkitan baharu buat penyerang dari Ghana itu musim ini dalam saingan Liga Super.
Selepas tampil suram bersama Terengganu musim lalu sehingga disisihkan pasukan tersebut, Mintah membalasa kepercayaan Aidil Sharin kini bersama kualiti permainan cukup mengujakan.
Selain tajam di hadapan gol, gerakan mintah bersama Pedro Henrique serta Tchetche Kipre juga memastikan pertahanan lawan bermandi peluh untuk menyerap asakan bertali arus.