Pemain tengah Real Madrid, Dani Ceballos mengakui dirinya pasti akan meninggalkan Real Madrid jika Zinedine Zidane kekal sebagai pengurus pada musim ini.
Ceballos menyertai juara eropah itu dari Real Betis pada Julai 2017 dengan nilai perpindahan £16 juta.
Namun demikian, musim pertama bersama Los Blancos tidak seperti yang beliau harapkan, dengan hanya empat permulaan dari 22 penampilan di semua pertandingan.
Namun nasib Ceballos seperti berubah sejak ketibaan Julen Lopetegui sebagai pengurus, dan beliau telah beraksi dalam tiga daripada empat perlawanan setakat ini.
Prestasi beliau bersama Real Madrid juga membolehkan dirinya dipanggil untuk menyertai skuad kebangsaan Sepanyol baru-baru ini.
“Ia sesuatu yang Zidane perlu jelaskan. Mengapa saya tidak mendapat lebih banyak peluang.
“Saya bekerja keras untuk menyukarkan beliau membuat pemilihan pemain, namun satu ketika anda sedar ia seperti mustahil.
“Saya menjaringkan dua gol di Vitoria dan perlawanan berikutnya saya beraksi hanya seminit menentang Dortmund.
“Apabila sepanjang minggu anda berasa seperti tidak penting untuk pasukan, ia menjadi semakin sukar.
“Pernah juga saya menyerah kalah. Kami ketinggalan 15 mata di belakang pendahulu La Liga dan hanya memiliki Champions League untuk diperjuangkan. Dan saya terus seperti disisihkan.
“Saya terpaksa melantik seorang jurulatih peribadi pada Januari kerana tidak bermain secara kerap, dan hilang intensiti.
“Jika Zidane kekal, sudah tentu saya akan melihat pilihan lain, tetapi kini Julen [Lopetegui] berada di sini.
Pemain berusia 22 tahun itu berkata dirinya tidak berdendam dengan Zidane. Tetapi meragui jika pengendali dari Perancis itu mempunyai simpati dengan pemain yang diperap di bangku simpanan.
“Anda tidak boleh menyerah kalah kerana objektifnya ialah untuk berjaya bersama Real Madrid. Sekarang tiba masanya saya membuktikan kepada penyokong apa yang mampu saya lakukan.
“Kenyataan ini bukan kerana dendam. Saya melalui Euro B-21 yang hebat, dinobatkan sebagai pemain terbaik dan segala-galanya berada di landasan tepat.
“Musim lalu bukan musim yang baik untuk saya. Tetapi sebagai pemain, Zidane mengajar saya erti kematangan. Beliau berterus terang di bahagian itu.
“Zidane adalah seorang pemain bintang ketika bergelar pemain, dan saya adalah antara yang mengikuti rapat karier beliau. Mungkin kerana status ‘bintang’, maka Zidane tidak memahami perasaan pemain yang berada di bangku simpanan, ujar Ceballos lagi.
Real Madrid memulakan kempen musim ini dengan cemerlang, mencatatkan tiga kemenangan setakat ini sebelum berhadapan dengan Athletic Bilbao pada Sabtu hadapan.