Damien Lim Sanggup Tolak Pahang & PJ City Demi Bersama Kim Swee Di Sabah

Penjaga gol baharu Sabah, Damien Lim mengakui kredibiliti yang ada pada Datuk Ong Kim Swee membuatkan dirinya tidak berfikir panjang untuk menerima tawaran berhijrah ke pasukan itu pada musim depan.

Pemain berusia 24 tahun ini mengakui turut mendapat tawaran daripada PJ City dan Sri Pahang pada musim depan sebelum akhirnya memutuskan untuk bersama Sabah selepas mengambil kira perancangan Kim Swee yang dilihat mampu membentuk skuad terbaik pada musim 2022.

Bagi Damien, aura positif yang ada pada bekas pengendali skuad B-23 tahun kebangsaan itu berjaya membuatkan pemain-pemain berasa selesa untuk berada di bawah bimbingannya dan itu antara yang menjadi sebab utama penghijrahannya ke Negeri Di Bawah Bayu pada tahun hadapan.

“Saya ada dapat tawaran dari PJ City dan Pahang juga, tetapi disebabkan saya pun pernah bersama Kim Swee dalam skuad B-23 tahun negara sebelum ini dan melihat kepada misi tersendiri beliau, saya buat keputusan untuk berhijrah ke sana.”

“Saya pun tengok Sabah cukup serius mempersiapkan pasukan pada musim depan dan bagaimana Kim Swee bawa masuk pemain berstatus bintang seperti Baddrol Bakhtiar, Rizal Ghazali dan Dominic Tan pastinya akan memberi sesuatu yang berbeza.”

“Dan diharapkan kami semua pemain baharu dan pemain sedia ada dapat bersama-sama menjalinkan hubungan yang lebih baik untuk sama-sama membawa pasukan ke tahap lebih baik”, tambahnya.

Dalam masa sama, Damien yang beraksi bersama Negeri Sembilan pada musim ini tidak menolak berasa teruja seandainya penjaga gol berpengalaman, Khairul Fahmi Che Mat berhijrah ke pasukan itu sekali gus akan menghidupkan persaingan sihat dalam merebut skuad utama.

Sebelum ini, nama penjaga gol Melaka United itu menjadi sebutan antara yang akan memperkuatkan skuad kendalian Kim Swee pada musim hadapan.

Namun, misi utamanya adalah untuk meraih seberapa banyak pengalaman berharga bersama Sabah di mana persaingan yang sengit akan membuka ruang kepada Damien untuk belajar menjadi pemain lebih berkualiti pada masa akan datang.

“Saya sedar kalau Apek (Khairul Fahmi) jadi datang ke Sabah, peluang untuknya beraksi semua perlawanan itu lebih cerah, tetapi bagi saya kalau dia ada, mestilah bagus untuk pasukan dan diri saya juga.”

“Secara peribadi, pengalamannya sebagai pemain senior boleh memberi impak kepada pasukan dan saya juga boleh belajar banyak benda daripadanya selain kami akan bersaing dengan lebih sihat antara satu sama lain.”

“Tetapi, sama ada Apek akan datang atau tidak, untuk saya sendiri misi utama adalah untuk cuba rebut sebaik mungkin menjadi penjaga gol utama dan semuanya terserah kepada jurulatih untuk membuat keputusan terbaik,” jelasnya.

Sabah menamatkan musim 2021 di tangga kesembilan Liga Super dan berjaya mara sehingga ke pusingan suku akhir Piala Malaysia.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN