Masih segar dengan idea 48 pasukan Piala Dunia yang riuh beberapa jam lalu? Penulis pasti planet Bumi sudah pun ‘terbelah’ dengan idea 48 pasukan tersebut. Ada setuju, ada sebaliknya kerana hujah tersendiri.
Menjadi hos Piala Dunia merupakan satu pelaburan. Bukan pelaburan dari bentuk wang semata-mata, tetapi pelaburan dari sudut reputasi nama bagi sesebuah negara. Salah langkah, nama baik negara anda akan ranap!
Kita teruskan idea negara manakah yang betul-betul sesuai menganjurkan Piala Dunia 2026 dan seterusnya.
Amerika Syarikat
Kebarangkalian cukup tinggi bahawa Amerika Syarikat akan menjadi hos Piala Dunia 2026. Kali terakhir CONCACAF diberikan mandat sebagai hos ialah pada 1994.
Jauh sekali Mexico atau Kanada diberikan peluang menjadi hos. Tetapi secara peribadi, penulis lebih senang Mexico dan Amerika Syarikat menjadi hos bersama.
Jika satu negara mesti menjadi hos, Amerika Syarikat perlu didahulukan!
Alasannya, mereka ada fasiliti cukup padu dan boleh dibangunkan dengan lebih rancak. Malah, negara ini kerap muncul dalam saingan Piala Dunia. Liga mereka pun bagus (walaupun sudah lama tidak memenangi kejuaraan benua).
Argentina
Kelebihan dimiliki Argentina, mereka ada fasiliti bagus dan liga yang bagus. Sudah lama benar Argentina tidak menjadi hos Piala Dunia. Pertama dan terakhir mereka menjadi hos ialah pada 1978.
Rasa macam tidak wajar Argentina tidak menyertai percubaan membida Piala Dunia 2026. Benar, ada desas-desus Argentina akan bergabung dengan Uruguay untuk Piala Dunia 2030.
Alasannya, meraikan 100 tahun Piala Dunia. Mungkin Argentina (dan negara CONEMBOL) lain sengaja tidak bida edisi 2026. Mudah, ingin mendapatkan hak 2030.
Mana-mana negara Afrika
Jika dihuraikan mengikut skala bajet, memang ia satu perjudian besar untuk sebuah negara Afrika menjadi hos. Namun, tanggungan itu akan mengecil jika dua negara bergabung.
Tetapi negara mana sesuai akan menjadi hos itu diragui.
Afrika Selatan barangkali tidak sesuai menjadi hos sekali lagi kerana kekangan kewangan. Malah, tiada negara jiran betul-betul sesuai untuk menjadi hos.
Cameroon dan Nigeria pun seolah-olah layak di atas kertas kerana berjiran. Malah, mereka berkongsi zon masa sama. Malah, mereka kerap layak ke Piala Dunia. Tetapi, adakah mereka mampu di atas perbelanjaan?
Negara Afrika Utara seperti Maghribi, Tunisia, Algeria dan Mesir pun ada potensi menjadi hos. Meskipun ada kalangan negara layak beberapa edisi terakhir, keamanan di rantau tersebut juga jadi keutamaan.
Mana-mana negara Eropah
Sebelum itu, ada dakwaan nakal mengatakan England (dan negara Britain lain) sering dijadikan Plan B jika berlaku masalah di negara hos Piala Dunia.
Mana mungkin Jerman akan menjadi hos untuk kali ketiga. Tetapi ada kemungkinan Perancis, Itali, Sepanyol menjadi hos. Atau juga FIFA menambah negara baru menjadi hos seperti Rusia.
Siapa tahu Portugal atau Turki? Jika dilihat kemampuan fasiliti, Turki lebih baik daripada Portugal. Tetapi jika menyebut kemunculan di Piala Dunia, Portugal lebih kerap berada di Piala Dunia.
Tetapi apabila ingin membawa Piala Dunia ke negara Scandinavia atau Eropah Timur, rasanya mereka kurang minat menjadi hos. Alasan utama ialah liga mereka tidak popular, fasiliti kurang baik.
Bajet pun agak kurang memberangsangkan. Meskipun, Hungary berani membida Sukan Olimpik 2024!
New Zealand
Jenaka sebenarnya jika memberikan New Zealand sebagai hos. Melainkan New Zealand bergabung Australia. FIFA menetapkan Asia tidak boleh menjadi hos Piala Dunia 2026.
Ada kemungkinan New Zealand akan dibayangi jirannya dalam beberapa isu berkaitan.
Kesimpulan
Ia adalah satu format yang akan menjadikan Piala Dunia sebagai kejohanan megarich. Ia menjana pendapatan yang lebih tinggi. Namun aspek persediaan juga harus diambil kira.
Tidak semua negara berkeupayaan menyedikan stadium yang menepati spefikasi Piala Dunia dalam kuantiti yang lebih banyak. Idea penganjur bersama mungkin lebih realistik.
Harus diingat ia adalah Piala Dunia 2026. Sudah pastinya teknologi akan lebih moden dan kos persediaan yang lebih tinggi.
Baca juga: Mengenang Kisah Invincibles Arsenal Musim 2003/04