Dali Omar mungkin asing bagi peminat bola sepak generasi hari ini. Namun nama ini sangat gah suatu ketika dahulu.
Kami terpanggil untuk menulis kisah Dali Omar selepas menonton telemovie Si Kijang Merah.
Beberapa tahun yang lalu, telemovie Si Kijang Merah disiarkan di slot cakerarama TV3.
Telemovie terbitan Orange Tree Production ini menampilkan barisan pelakon seperti Harris Alif, Ahmad Ezzrin Loy, Firdaus Ghufran, Alis Mariya, Izzy Reef, Luqman, Raja Atiqullah, Mustapha Kamal, Laila Nasir, Zamarul Hisham dan ramai lagi.
Sedikit bingkisan telemovie Si Kijang Merah
“Si Kijang Merah” mengisahkan Ammar (lakonan Harris Alif), seorang remaja yang mengikuti keluarganya berpindah ke Selangor.
Ammar adalah seorang penyokong “hardcore” pasukan “The Red Warrior” dan merupakan penyerang utama pasukan sekolahnya.
Adib (lakonan Firdhaus Ghurfan) juga adalah pelajar dan merupakan jiran Ammar yang baru berpindah dari Johor. Seperti Ammar, Adib juga meminati bola sepak dan penyokong pasukan JDT.
Kerana bakatnya, Adib juga dipilih untuk bermain untuk pasukan sekolah.
Konfliknya muncul apabila jurulatih (lakonan Faraouk Hussain) mengambil risiko mengetepikan Ammar sebagai penyerang utama pasukan ekoran kecederaan yang dialaminya.
Hakikat bahawa Adib adalah penyokong JDT, membuatkan Ammar tidak senang.
Telemovie arahan Nizam Zakaria ini turut menyelitkan kisah cinta monyet antara Ammar, Adib dan Izzati.
Selebihnya ia mengisahkan tentang semangat setiakawan, kerjasama pasukan dan semangat patriotik melalui semangat cintakan bola sepak tanah air.
Menariknya telemovie ini, ia turut menampilkan Badrul Radzi (Piya) dan bekas lagenda pasukan Kelantan dan Malaysia, Dali Omar.
Siapakah Dali Omar?
Dali Omar dilahirkan pada 19 Mei 1946 di Kuala Krai, Kelantan. Bermain di posisi penyerang, debut pertama bersama pasukan Kelantan ialah pada tahun 1962 pada usia 16 tahun.
Kelebihan beliau – kelincahan menggunakan kedua-dua belah kaki. Gerakan persis lagenda Argentina, Diego Maradona!
Pada tahun 1963, Dali Omar dipilih untuk mewakili Malaysia dalam satu kejohanan peringkat remaja di Saigon, Vietnam.
Dali Omar menjadi penjaring terbanyak kejohanan tersebut sekaligus membawa Malaysia sebagai juara menewaskan 14 buah lagi pasukan Asia pada ketika itu.
Tiada rekod menunjukkan sebarang kejohanan peringkat Asia diadakan di Vietnam pada masa itu. Kejohanan tersebut kemungkinan besar adalah Kejohanan Bola Sepak Sekolah-Sekolah Asia pada tahun 1963.
ATM FA
Pada penghujung tahun 1963, beliau menyertai Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sebagai “millitary police” (MP). Kerana bakatnya di dalam bola sepak, kebanyakkan masa kerjayanya bersama ATM adalah di padang bola sepak.
Sepanjang karier beliau bersama ATM, Dali Omar pernah mengemudi jentera serangan ATM hingga ke perlawanan akhir Piala Malaysia 1966, namun tewas 0-1 kepada Selangor.
Kelantan FA
Beliau kembali menyertai Kelantan FA selepas itu dan menjaringkan sejumlah 21 gol daripada 28 penampilan sepanjang kempen Piala Malaysia.
Peminat dan penyokong pasukan Kelantan pasti tidak lupa 4 gol jaringan beliau ketika membelasah Singapura 8-0 di peringkat separuh akhir Piala Malaysia 1970.
Harapan untuk membawa Kelantan menjulang Piala Malaysia punah apabila gol jaringan Allahyarham Tan Sri Abdul Ghani Minhat menjulang Perak selaku juara edisi pertama Piala Malaysia yang menggantikan saingan Piala H.M.S.
Bagaimanapun, Kelantan FA adalah pasukan dari pantai timur yang pertama muncul pada peringkat akhir dalam sejarah Piala H.M.S/ Piala Malaysia.
Australia
Pada tahun 1972, Dali Omar mencipta sejarah dalam landskap bola sepak negara apabila menjadi pemain pertama berhijrah ke luar negara.
Dali Omar disunting oleh sebuah kelab profesional Liga Australia, Azzuri Australia (kini Perth Glory FC) sebagai pemain berstatus semi pro dengan pendapatan A$556 sebulan.
Selain gaji, beliau juga diberikan kemudahan rumah, kenderaan dan elaun perlawanan.
Pada 1974 adalah era baru bagi Dali Omar. Beliau dilantik sebagai jurulatih Kelab Bola Sepak Olimpik Kingsway dengan gaji A$40,000, dibayar setiap 3 bulan.
Pendapatan beliau dianggap mewah pada zaman itu bagi seorang pemain bola sepak.
Kekesalan
Di dalam satu temu ramah bersama akhbar “The Star”, Dali Omar pernah menyatakan kekesalannya tidak beraksi untuk Skuad Olimpik 1972 di Munich, German.
Perjalanan karier bola sepak beliau juga pernah diwarnai kisah-kisah kontroversi yang wajar dijadikan pengajaran buat pemain-pemain bola sepak di Malaysia pada hari ini.
Bakat dan sikap profesional adalah rencah kejayaan yang sebenar!
Si Kijang Merah yang hebat
Itulah kisah Si Kijang Merah bernama Dali Omar yang pernah mengharumkan nama negara dan menempa nama di luar negara.
Beliau pernah digelar Maradona Malaysia pada era kegemilangan beliau.
Kisah beliau wajar dijadikan inspirasi oleh pemain dan jurulatih tempatan untuk berani menyambar peluang yang datang dari luar.
Kami di SemunyaBOLA mendoakan agar lagenda bola sepak negara, Si Kijang Merah, Dali Omar sentiasa diberkati dengan kesihatan yang baik dan bahagia bersama keluarga tersayang.