Sri Pahang menjadi antara pasukan yang bakal memanfaatkan tempoh cuti saingan Liga Malaysia (Liga M) kini dalam usaha mereka untuk memperbaiki keadaan semasa sebelum tirai kejohanan kembali bersambung.
Terdahulu, skuad kendalian Fandi Ahmad antara yang menghadapi krisis kecederaan dalam kalangan pemain sehingga ia menjejaskan persiapan semasa pasukan.
Prestasi semasa Sri Pahang kini boleh dianggap tidak begitu konsisten dalam persaingan Liga Super apabila mereka mencipta satu kemenangan sahaja daripada lima aksi lalu termasuk satu perlawanan masih ditunda.
Satu kemenangan Tok Gajah diraih sebelum ini pada 20 Oktober lalu ketika mereka mengetepikan Penang menerusi keputusan penuh 1-0 di gelanggang lawan.
Punca kepada isu prestasi semasa Sri Pahang sudah tentu terarah siri kecederaan yang melanda skuad tersebut sehingga menjejaskan persiapan semasa dilakukan oleh Fandi.
Menerusi tempoh rehat panjang ini, ia memberi peluang buat Fandi untuk memperbaiki keadaan semasa serta memantapkan lagi pasukan itu sambil berharap kecederaan melanda pemain beliau dapat segera pulih.
Sebelum ini, Sri Pahang terpaksa melupakan seketika khidmat Azrif Nasrulhaq serta bintang import serba boleh iaitu Stefano Brundo kerana masalah kecederaan telah melanda.
“Ketiadaan Brundo dan Azrif Nasrulhaq amat dirasai terutama di bahagian pertahanan terutama Brundo antara penyumbang gol utama pasukan Ketika ini.
“Oleh itu saya harap dua pemain ini akan kembali sebaik liga bersambung nanti dan Sri Pahang memiliki pasukan yang lebih mantap bukan sahaja di bahagian pertahanan, malah tengah dan serangan,” kata beliau menerusi Harian Metro.
Brundo yang menyertai Sri Pahang sejak musim lalu menjadi antara tunjang utama kekuatan pasukan tersebut daripada segi pertahanan, tengah serta serangan.
Walaupun secara dominasi Brundo bermain selaku pertahanan kelab, pemain itu telah pun merekodkan empat gol daripada 10 perlawanan dihadapi bersama pasukan berkenaan di pentas domestik.
Walaupun begitu, momentum pemain import tersebut tersekat seketika selepas beliau dilaporkan mengalami kecederaan sejak September lalu untuk diketepikan kelab.
Sejak ketiadaan Brundo, Sri Pahang dilihat menghadapi isu daripada segi keseimbangan di posisi pertahanan serta serangan sehingga membantutkan sedikit percaturan Fandi.