Adakah benar dakwaan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) telah ditipu oleh pemain untuk bergelar pemain naturalisasi.
Baru-baru ini wujud dakwaan bahawa ada pemain yang telah berjaya mengaburi badan induk bola sepak negara itu semata-mata untuk mendapatkan pasport Malaysia semata-mata untuk kepentingan peribadi.
Dakwaan tersebut datangnya daripada kenyataan dan perkongsian daripada salah seorang pemain kacukan, Curran Ferns melalui perkongsian di IG Story beliau baru-baru ini.
“Amat luar biasa @famalaysia mahu memberikan taraf naturalisasi kepada mereka yang berbohong dirinya orang Malaysia untuk mendapatkan pasport demi kepentingan peribadi,” tulis beliau di IG Storynya.
“Untuk mewakili Malaysia dan menjadi rakyat ia harus lebih daripada bola sepak. Bagaimana kita boleh membenarkan seseorang cuba untuk memanipulasi ramai orang dan menipu semua pihak hanya kerana namanya ada iras nama Asia, semata-mata untuk mengisi poket dirinya sendiri.
“Ini adalah satu penghinaan dan satu tamparan.
“Buktikan dokumen bagaimana pertalian darah keluarga anda adalah dari Malaysia kerana anda telah bercakap kepada media selama bertahun lamanya. Sekarang buktikan atau minta maaf kepada setiap pihak kerana menipu, dan kemudian biarkan mereka menentukan sama ada anda layak untuk menjadi rakyat Malaysia.”
Tidak dapat dipastikan siapakah pemain yang dimaksudkan oleh Curran Ferns itu. Kebetulan atau tidak, FAM kini sedang di dalam proses untuk memberikan kerakyatan kepada dua pemain Sri Pahang FC, iaitu Lee Tuck dan Sergio Aguero baru-baru ini.
Beza warisan dan naturalisasi penuh
Termasuk Lee Tuck dan Aguero, ini bermakna bakal jurlatih pasukan negara, Kim Pan-gon kini memiliki pool pemain naturalisasi yang lebih besar untuk dipilih pada masa hadapan.
Tiga lagi pemain yang telah dinaturalisasi sebelum ini adalah Mohamadou Sumareh, Liridon Krasniqi dan juga Guilherme de Paula. Lima pemain ini dinaturalisasikan berdasarkan peraturan FIFA yang terkandung di dalam Artikel 7 badan bola sepak antarabangsa itu.
Untuk rekod, seseorang pemain yang sebelum ini tidak memiliki pasport Malaysia hanya boleh dinaturalisasikan dengan empat cara iaitu:
a. Dilahirkan dalam kawasan dibawah gabungan persatuan bola sepak negara berkaitan.
b. Ibu atau bapa kandung pemain itu dilahirkan dalam kawasan dibawah gabungan persatuan bola sepak negara berkaitan.
c. Nenek atau datuk pemain itu dilahirkan dalam kawasan dibawah gabungan persatuan bola sepak negara berkaitan.
d. Pemain tersebut telah tinggal selama 5 tahun berturut-turut dalam kawasan dibawah gabungan persatuan bola sepak negara berkaitan selepas berumur 18 tahun.
Hasil semakan dan rekod, lima pemain seperti yang dinyatakan di atas telah dinaturalisasikan berdasarkan peraturan d (iii) – Pemain tersebut telah tinggal selama 5 tahun berturut-turut dalam kawasan dibawah gabungan persatuan bola sepak negara berkaitan selepas berumur 18 tahun.
Selain daripada lima pemain tersebut, FAM sebelum ini turut telah membantu beberapa pemain untuk dinaturalisasikan di bawah Artikel yang sama seperti terkandung di dalam peraturan (b) dan (c) – yang kita kenali sebagai pemain warisan.
Antara pemain warisan yang telah dinaturalisasikan adalah seperti Brendan Gan, Corbin Ong, Natxo Insa, Matthew Davies, dan ramai lagi. Semua pemain ini sebelum ini tidak memiliki passport Malaysia dan harus dinaturalisasikan berdasarkan peraturan di atas untuk membolehkan mereka bermain mewakili skuad negara.
FAM harus siasat
Seperti dikatakan tadi, tidak dapat dipastikan sejauh mana kebenaran berlakunya penipuan oleh pemain untuk membenarkan mereka dinaturalisasi.
Apa-apa pun dakwaan Curran Ferns haruslah disiasat agar ketelusan dan integriti FAM tidak dipersoal. Isu memberi taraf kewarganegaraan harus tidak dipandang sipi oleh mana-mana pihak, kerana ia juga melibatkan maruah dan kedaulatan negara.