Pemain tengah Colombia Juan Cuadrado berkata, dia gembira untuk menyerahkan jersi nombor 7 Juventus kepada pemain baharu kelab juara Itali itu, Cristiano Ronaldo, pemenang lima kali Ballon d’Or.
Selepas sembilan tahun, empat mahkota Liga Juara-Juara dan dua gelaran La Liga bersama Real Madrid, Ronaldo melengkapkan perpindahan mengejutkan ke kelab Serie A Itali minggu ini, sambil berkata “sudah tiba masanya untuk membuka babak baharu dalam hidup saya”.
Más bienaventurado es dar que recibir; bendiciones 🙏🏾 Panita @cristiano en esta nueva aventura 💪🏾💪🏾#FinoAllaFine #ForzaJuve🏳️🏴 pic.twitter.com/MYAMcjVyxi
— Juan Cuadrado (@Cuadrado) July 11, 2018
Sejak menyertai Manchester United dari Sporting Lisbon di usia 18 tahun pada tahun 2003, Ronaldo hanya menyarung jersi bernombor 7 dan turut mengeluarkan jenama fesyen sendiri CR7.
“Kami tahu apa yang diwakili menerusi jersinya dan saya tidak mempunyai masalah untuk menyerahkannya,” kata Cuadrado dalam satu sidang akhbar di Bogota.
“Bagi saya, apa yang penting ialah berlatih dengan gigih dan bersedia apabila dipanggil masuk ke padang oleh jurulatih untuk beraksi.”
Rabu lalu, Cuadrado mengalu-alukan kedatangan Ronaldo dan memberi isyarat yang dia sedia melepaskan jersi nombor 7 Juventus.
Cuadrado berkata, dia lebih berminat dengan keupayaan Ronaldo berbanding nombor apa yang dipakai oleh pemain.
“Dia akan memberi impak besar kepada Juventus dengan sikapnya yang sering dahagakan kemenangan.
“Dia antara yang terbaik di dunia dan dengan pengalaman serta apa yang sudah dia capai, dia pasti akan membantu kami,” katanya.