Kemenangan ketiga berturut-turut diraih Croatia selepas berjaya menundukkan Iceland dengan keputusan 2-1 pada perlawanan yang berlangsung di Rostov Arena, sebentar tadi.
Lebih manis kemenangan itu diraih walaupun Zlatko Dalic merehatkan hampir keseluruhan barisan pemain utamanya pada perlawanan ini.
Iceland beri ancaman berbahaya di babak pertama
Kelebihan penguasaan bola oleh Croatia gagal diterjemahkan kepada sebarang percubaan menarik pada babak pertama.
Sebaliknya, Iceland yang begitu mengharapkan kemenangan pada perlawanan penentuan ini kelihatan lebih berbahaya bagi merobek gawang Croatia yang dikawal Lovre Kalinic.
Percubaan tepat yang pertama pada perlawanan ini menjelma di minit ke-31 selepas Gylfi Sigurdsson melepaskan rembatan ketika situasi sepakan percuma.
Namun, Kalinic tidak berdepan masalah bagi menangkap kemas percubaan dari pemain yang beraksi bersama skuad Everton dalam saingan Liga Perdana Inggeris.
Alfred Finnbogason turut terlepas peluang selepas beliau yang berjaya merampas bola daripada kawalan Milan Badelj di kawasan Croatia, melakukan percubaan yang sedikit tersasar.
Kalinic terus mencuri tumpuan apabila penjaga gol berusia 28 tahun itu bertindak cemerlang bagi menafikan dua percubaan menarik daripada Birkir Bjarnason dan Aron Gunnarsson pada lewat aksi separuh masa pertama.
Separuh masa kedua
Croatia memulakan aksi di babak kedua dengan meyakinkan apabila rembatan yang dilakukan Milan Badelj hampir membuka tirai jaringan pada minit ke-52.
Mujur, sepakan kencang yang diledakkan dari luar kotak penalti tersebut hanya singgah di palang gol.
Badelj hanya memerlukan seminit sahaja bagi menebus kekecewaan tersebut apabila beliau berjaya membolosi gawang Croatia.
Gol tersebut berpunca daripada ‘cutback’ yang dilakukan Josip Pivaric, Badelj yang tidak dikawal pertahanan Iceland dengan tenang menolak masuk bola bagi jaringan pendahuluan.
Tersentak dengan jaringan itu, Iceland kembali memperkemaskan persembahan untuk kembali menyamakan kedudukan.
Sverrir Ingi Ingason hampir memberikan kegembiraan buat para penyokong Iceland, bagaimanapun tandukan pemain pertahanan itu dinafikan Kalinic pada minit ke-55.
Jaringan penyamaan yang dinantikan skuad bimbingan Heimir Hallgrimsson akhirnya menjelma selepas Sigurdsson berjaya menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-76.
Sepakan penalti tersebut dihadiahkan buat Iceland selepas bola terkena tangan Dejan Lovren dalam kotak penalti.
Ivan Perisic menamatkan sisa perjuangan Iceland pada penampilan pertama mereka dalam saingan Piala Dunia dengan jaringan kemenangan pada minit ke-91.
Dengan keputusan yang dikecapi pada perlawanan ini, Croatia mengekalkan rekod kemenangan 100% bagi menggungguli tangga teratas kumpulan D.
Iceland terpaksa berputih mata selepas hanya menamatkan saingan di tempat terakhir.
Argentina berjaya menutup mulut pengkritik untuk mengiringi Croatia ke peringkat kalah mati.