Tonggak Juventus, Cristiano Ronaldo mendedahkan bahawa beliau tidak pernah menganggap Lionel Messi sebagai pesaingnya setelah lebih sedekad kedua-dua bintang bola sepak dunia tersebut ‘berlumba-lumba’ mencipta pelbagai rekod dalam membantu pasukan masing-masing.
Peminat bola sepak di seluruh dunia berpeluang menyaksikan kelibat kedua-dua pemain apabila Barcelona melayani kunjung Juventus pada aksi terakhir peringkat kumpulan kempen Liga Juara-Juara Eropah (UCL) 2020/21.
Perlawanan tersebut menyaksikan Ronaldo menyempurnakan dua sepakan penalti sekali gus membantu wakil Itali itu mencatatkan kemenangan 3-0 dan satu lagi jaringan disumbangkan oleh pemain muda, Weston McKennie.
Kemenangan selesa tersebut telah meletakkan Juventus di tangga teratas saingan kumpulan G selepas mengumpul 15 mata, turut terikat mata bersama Barcelona tetapi skuad kendalian Andrea Pirlo itu memiliki kelebihan agregat berbanding The Blaugrana.
Ia juga pertembungan buat pertama kali antara Ronaldo dan Messi selepas pemain kelahiran Portugal itu memilih untuk meninggalkan Real Madrid sebaik sahaja tamat Piala Dunia 2018 di Rusia.
”Saya sentiasa mempunyai hubungan yang cukup baik bersamanya [Messi],” ujar Ronaldo menurut laporan yang dikeluarkan Goal.
”Saya telah berkongsi majlis anugerah selama 12, 13 atau 14 tahun bersamanya. Saya tidak pernah langsung menganggapnya sebagai pesaing saya.”
”Dia sentiasa berusaha untuk melakukan yang terbaik buat pasukannya dan begitu juga dengan saya. Saya juga begitu akrab dengannya.”
”Tetapi kita tahu dalam bola sepak, bagi media, untuk melihatkan sesuatu itu lebih menarik, elemen persaingan begitu dicari. Tetapi saya selalu bergaul dengannya dan saya melihat dia seperti biasa.”
Kredit featured image: David Ramos/Getty Images
Baca artikel lain dari kami mengena dua legenda ini:
Messi, Ronaldo Bakal Disatukan Di Manchester City Musim Depan?
Iker Casillas: Cristiano Ronaldo Lebih Mengagumkan Berbanding Messi