Quantcast

BERITA

Cristiano Ronaldo Pengaruhi Tiga Pemain Bintang Tidak Sertai Real Madrid

Cristiano Ronaldo dikatakan telah terlibat secara langsung dalam rundingan perpindahan melibatkan Paul Pogba, Matthijs de Ligt dan Joao Felix untuk memastikan ketiga-tiga pemain ini tidak menyertai seteru utama di pertandingan UEFA Champions League (UCL), Real Madrid.

Melalui satu laporan dari Itali oleh Diario Gol, Ronaldo dikatakan mempengaruhi Paul Poga dan Matthijd de Ligt untuk tidak menyertai Real Madrid. Kedua-dua pemain kemudiannya dilaporkan oleh kebanyakkan media mahu menyertai Juventus selepas itu.

Madrid dikatakan mensasarkan pemain tengah Perancis, Paul Pogba. Zinedine Zidane sebelum ini dikatakan telah memaklumkan kepada Florentino Perez, bahawa Pogba adalah pemain sasaran utama beliau pada jendela perpindahan musim panas ini.

Namun selepas campur tangan Ronaldo, Pogba kini dilihat semakin hampir untuk berpindah kembali ke Turin – dan bersedia untuk melupakan impian berhijrah ke Real Madrid.


Begitu juga dengan Matthijs de Ligt yang turut dikatakan menarik minat kelab La Liga itu sebagai pemain yang akan menggantikan Sergio Ramos pada masa hadapan. De Ligt sendiri mengakui Ronaldo telah memujuk beliau menyertai Juventus selepas perlawanan akhir UEFA Nations League beberapa minggu lalu.

Sky Sports baru-baru ini turut melaporkan De Ligt akan memilih untuk ke Turin – dan bersedia untuk melupakan tawaran lain yang lebih lumayan termasuk daripada Barcelona dan Paris Saint-Germain (PSG).

Seorang lagi pemain yang dikatakan dipengaruhi oleh Ronaldo ialah Joao Felix. Rakan sepasukan Ronaldo di Portugal itu dikatakan akan menyertai Atletico Madrid dan menolak tawaran daripada Los Blancos walaupun menerima tawaran yang lebih lumayan.