Tidak segalanya indah walaupun untuk pemain terbaik dunia seperti Cristiano Ronaldo.
Bekas pemain Real Madrid itu telah menjuarai pelbagai kejuaraan di peringkat kelab dan antarabangsa, namun beliau dilihat tetap berhadapan dengan kritikan.
“Saya tidak nafikan adakalanya ianya agak menjengkelkan dan meletihkan kerana perlu membuktikan kepada semua pihak setiap tahun, bahawa saya pemain bola sepak yang baik [berkelas dunia],” ujar Ronaldo dalam temuramah bersama El Pais.
“Ianya sukar, anda mempunyai lebih tekanan untuk membuktikan diri kepada setiap orang. Bukan sahaja ia memberi kesan kepada diri sendiri, tetapi juga kepada ibu dan anak saya.
“Ia juga membuatkan saya lebih aktif. Anda akan berlatih, namun aka ada masanya anda harus berkata, ‘lihat, biarkan saya jadi….’.” Ronaldo enggan meneruskan kata-kata beliau sambil tersenyum.
Pemain yang sinonim dengan jersi No.7 sejak menyertai Manchester United itu meninggalkan Real Madrid untuk menyertai Juventus pada musim panas lalu. Namun Ronaldo gagal membantu Juventus meneruskan cabaran di pertandingan UEFA Champions League, setelah disingkirkan Ajax.
“Anda [sebagai pemain] harus mempunyai sifat rendah diri,” jelas beliau.
“Anda harus sedar bahawa anda tidak tahu segala-galanya. Dan jika anda bijak, anda akan menambah baik setiap perkara yang boleh membantu anda menjadi pemain yang lebih baik.
“Saya menyesuaikan diri dengan baik di Juventus, dan mereka tahu saya bukan bercakap kosong.
“Mereka melihat saya sebagai Cristiano Ronaldo, bahawasanya saya menjadi diri seperti hari ini kerana saya menjaga diri saya.
“Anda fikir bagaimana saya boleh memenangi lima Ballon d’Ors dan lima Champions League?”