Bekas bintang Manchester United yang kini beraksi bersama Juventus Cristiano Ronaldo, diberi lampu hijau oleh UEFA untuk berhadapan dengan bekas kelabnya itu dalam pertandingan UEFA Champions League (UCL) pada bulan hadapan.
Kapten Portugal itu sebelum ini dilayangkan kad merah ketika Juventus menewaskan Valencia 2-0 pada minggu lalu, kerana kesalahan menarik pemain pertahanan lawan, Jeison Murillo di rambut.
Kad merah tersebut adalah yang pertama untuk pemain tersebut di pertandingan UCL.
Juventus dijadualkan akan bertandang ke Old Trafford pada 23 Oktober hadapan untuk perlawanan Kumpulan H UCL.
Bagaimanapun Ronaldo tetap akan menjalani pergantungan satu perlawanan akibat arahan keluar padang itu, dan akan terlepas aksi Juventus menentang Young Boys pada 2 Oktober nanti.
Insiden kad merah tersebut berlaku apabila pemenang lima kali Ballon d’Or itu cuba untuk melakukan hantaran lintang ke hadapan gawang lawan, sebelum ianya dihadang oleh Murillo.
Tindakan susulan Ronaldo yang menuduh Murillo sengaja menjatuhkan badan sebelum menarik rambut pemain itu mengundang pengadil perlawanan untuk berbincang dengan pembantu pengadil sebelu keputusan kad merah diberikan.
Sebelum ini lahir kebimbangan Ronaldo tidak akan beraksi menentang Manchester United di Old Trafford. Berbeza dengan pergantungan automatik tiga perlawanan dalam kebanyakkan pertandingan, hukuman oleh UEFA adalah berdasarkan semalkan ‘kes demi kes’.
Pergantungan satu perlawanan adalah automatik, tanpa boleh dirayu. Namun peraturan 50.01 UEFA menyebut, siasatan lanjut akan dilakukan oleh jawatankuasa disiplin badan induk bola sepak eropah itu, sebelum sebarang tambahan hukuman ditentukan kemudian.