Baru semusim meninggalkan Madrid, Cristiano Ronaldo mengakui bahawa beliau amat merindui kota yang pernah didiaminya selama sembilan tahun itu.
Ronaldo meluahkan kerinduannya selepas menerima anugerah Marca Leyenda (Marca Legend) pada satu majlis yang diadakan di Madrid. Turut hadir pada majlis tersebut ialah Presiden Real Madrid, Florentino Perez.
Kerinduan tersebut ada asasnya apabila Ronaldo telah menikmati pelbagai kegemilangan bersama Real Madrid sejak berhijrah ke Sepanyol pada musim 2009/10.
”Saya rasa bersalah apabila meninggalkan Real Madrid. Saya merindukan kedua-duanya (Manchester dan Madrid) tetapi kerana saya tinggal lebih lama di Madrid, anak saya lahir di sini, saya lebih merindui Madrid.”
Ronaldo menjelaskan lagi trofi legenda yang dimenanginya itu akan diabadikan di muzium khasnya.
”Trofi ini akan mendapat tempat yang sangat baik di muzium saya. Madrid adalah istimewa, saya telah ke merata tempat tetapi tidak banyak bandaraya seperti Madrid.”
”Kebanyakan anugerah ini diperoleh daripada apa yang saya lakukan di Madrid. Ia merupakan trofi Sepanyol dan saya berasa amat dihormati.”
“Terima kasih kepada semua yang membantu saya dalam mencapainya. Ia merupakan kebanggaan buat saya dan saya berharap dapat kembali semula ke Madrid tidak lama lagi.”
Sembilan musim bersama Real Madrid, Cristiano Ronaldo berjaya menjaringkan 451 gol hasil 438 penampilan sekaligus menjadi penjaring terbanyak sepanjang zaman buat Los Blancos.