Bintang Real Madrid dan Portugal, Cristiano Ronaldo mempunyai sasaran peribadi beliau yang tersendiri. Ronaldo bukan sahaja mahu berjaya di dalam karier di atas padang. Malah beliau turut mengimpikan kejayaan di luar padang, khususnya dalam berkeluarga!
Ronaldo menyambut kelahiran anak ke-4 pada awal minggu ini, meraikan hari kelahiran anak perempuan yang diberi nama Alana Martina hasil hubungannya dengan teman wanita Georgina Rodriguez.
A post shared by Cristiano Ronaldo (@cristiano) on
Cristiano Ronaldo dijangka akan dianugerahkan anugerah Ballon d’Or ke-5 sepanjang karier profesionalnya, yang akan diumumkan pada penghujung bulan ini.
Ronaldo bertanggapan anugerah Ballon d’Or yang akan datang sebagai satu mimpi menjadi kenyataan jika beliau dinobatkan. Namun Ronaldo tidak mahu ia berhenti sekadar di angka gelaran Ballon d’Or ke-5.
Ketika berbicara kepada L’Equipe, pemain termasyur dunia bersama Lionel Messi ini berkata:
“Saya mahukan 7 anak. Pada masa yang sama saya mahu memenangi semua perkara yang saya boleh menangi di dalam karier. Impian saya ialah untuk memenangi gelaran Ballon d’Or ke-5.”
“Tahun hadapan, akan ada satu lagi Ballon d’Or untuk dimenangi,” ujar Ronaldo menerangkan sasaran peribadinya.
Walaupun Ronaldo adalah pilihan utama untuk memenangi gelaran Ballon d’Or pada tahun ini, prestasi beliau agak perlahan pada kempen musim ini bersama Real Madrid.
Sehingga kini penyerang Los Blancos ini bergelut untuk menemui sentuhan dan hanya berjaya menjaringkan 1 gol daripada 7 penampilan di dalam La Liga musim 2017/18.
Prestasi semasa Ronaldo adalah antara penyumbang kepada kedudukan terkini Real Madrid yang berada 8 mata di belakang pendahulu La Liga, Barcelona.
Untuk itu, Ronaldo menerima segala kritikan yang dilemparkan kepadanya, namun tetap tidak panik akan prestasi yang ditonjolkan setakat ini.
“Saya gembira dan merasakan diri berada dalam keadaan baik. Saya perlu bertenang dan terus bekerja keras. Saya yakin boleh mencapai prestasi yang lebih baik daripada apa yang ditonjolkan setakat ini.”
“Anda melihat saya sebagai mesin pencetak gol. Seolah-olah saya akan menjaringkan gol dalam setiap perlawanan. Jika itu adalah isunya, maka tiada siapa sebenarnya yang peduli sama ada saya menampilkan permainan yang baik atau tidak.”
“Saya sentiasa dinilai dengan jaringan gol yang dihasilkan. Tetapi kadang kala ia bukan perkara terpenting di dalam bola sepak. Saya terima kritikan peminat, namun tidak bersetuju dengan pendapat mereka.”
“Kerana itulah saya tidak berminat untuk mengambil tahu laporan media dan apa mereka katakan mengenai saya. Tetapi saya perlu menerima hakikat tersebut kerana saya tidak mampu mengawal apa yang berlaku di dunia dan sekeliling saya,” jelas Ronaldo
Kegusaran akan pencapaian Real Madrid bukan sekadar menggusarkan penyokong mereka di dalam saingan La Liga.
Malah prestasi tidak menentu di dalam pertandingan UEFA Champions League turut merisaukan kemungkinan mereka tidak mampu mempertahankan trofi eropah tersebut pada kempen musim ini.
Sehingga kini Real Madrid hanya mencatatkan 2 kemenangan, 1 seri dan tewas kepada Tottenham Hotspur dalam 4 perlawanan pertama peringkat kumpulan.
Namun Ronaldo tidak gusar akan prestasi mereka di dalam pertandingan UCL.
“Saya tidak taku akan PSG. Kami adalah juara bertahan dan juara eropah untuk 2 musim berturut-turut. Anda harus menghormati itu. Sudah tentu kami mahu menjuarai kumpulan. Namun perkara terpenting sekarang ialah untuk melayakkan diri ke peringkat seterusnya,” ujar Ronaldo menutup bicara.