Sabah menjadikan Craven Cottage sebagai sumber inspirasi dalam usaha mereka membina stadium baharu buat pasukan dalam masa terdekat.
Craven Cottage merupakan gelanggang Fulham yang terletak di Barat London dan telah digunakan oleh kelab Premier League itu sejak 1896.
Hanya berkapasiti 22,384 penyokong dan merupakan gelanggang untuk saingan berprestij seperti Premier League, Sabah turut merasakan, stadium yang dirancang mereka juga tidaklah perlu terlalu besar kapasitinya.
Sabah merupakan antara pasukan yang sedang meniti era terbaik sejak dikendalikan Datuk Ong Kim Swee dan menduduki tangga ke-3 musim lalu.
Musim ini, selepas 10 perlawanan, The Rhinos sedang berada di kedudukan ke-4 Liga Super, dipisahkan dua mata daripada Selangor dan Sri Pahang.
📊 Kedudukan Liga Super selepas keputusan malam ini.#LigaSuper2023 #DemiLigaKita pic.twitter.com/3xM85zSDPR
— Malaysian Football League (@MFL_MY) April 28, 2023
Mungkin bagi sesetengah pihak, jika stadium baru mahu dibina, kapasiti yang besar perlu dirancang selari dengan prestasi semasa pasukan.
Malah, gelanggang rasmi mereka kini, Stadium Likas pula berkapasiti 22,000. Jadi, mengapa perlu dibina stadium yang hampir sama saiznya?
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sabah FC, Ahmad Marzuki Nasir, kerangka stadium tersebut sudah mula dibuat ketika di bawah CEO lama.
“Sejak YB Firdaus menjadi CEO, kita sudah minta arkitek untuk ‘design’ dan kita sudah ada pelan. Tapi itu bergantung kepada kewangan kerana sumber kewangan kita terhad,” memetik kenyataannya di sidang media Majlis Pelancaran Pakej Bola In The City di Hilton Kota Kinabalu, semalam.
“Bagi saya setakat ini memadai untuk Sabah, 15 ke 20 ribu kapisiti stadium. Stadium yang padat dan betul-betul stadium bola sepak,” ungkap lagi.
Selain itu, jika melihat purata kehadiran di Likas pada musim 2022, mereka hanya merekodkan hampir 9,000 penyokong pada satu-satu perlawanan.
Beliau turut memberikan contoh bagaimana Craven Cottage masih mampu menjadi stadium untuk Premier League waima berkapisiti sederhana.
Finishing of the year at Craven Cottage. Elite stadium and a great game. Atmosphere not the loudest but very glad to have been to this ground.#Groundhopping pic.twitter.com/Uf5Q3MubH1
— Drew (@vuck_shady) December 31, 2022
“Saya pergi ke Fulham, bila kita tengok stadium disana tak mewah manapun tapi memang keperluannya cukup untuk bola sepak dan mereka boleh menjana pendapatan,” jelas Marzuki kepada pihak media mengenainya.
Bayangkan stadium yang sudah tersergam indah sejak tahun 1896, masih kekal berdiri utuh, lengkap dengan kemudahan terkini bola sepak kini.
Itulah yang menjadi ilham buat Marzuki dan pengurusan Sabah, untuk membina sebuah stadium yang serba lengkap dengan kemudahan terkini.
Malah, kos yang diperlukan mereka juga tidaklah terlalu besar jika beginilah perancangannya. Hanya sekitar RM50 juta diperlukan Sabah pada saat ini.
“Sekitar RM50 juta sahaja, untuk membangunkan stadium berkapasiti kecil. Tak banyak kos lebih-lebih lagi jika kita pakai ‘steel structure’, dia tak perlu konkrit. Bagi saya yang penting semuanya lengkap, kemudahan fasiliti, ada gimnasium dan pejabat,” jelasnya lanjut tentang kos dan fasilitinya.
Nampaknya, Sabah bakal memiliki stadium yang berinspirasikan stadium di Premier League, Craven Cottage yang serba lengkap untuk bola sepak.