Nama Paul Pogba kini menjadi sebutan di dada-dada akhbar dengan cerita kurang enak berikutan prestasi semasa yang sedang dihadapinya sejak akhir-akhir ini.
Menurut bekas pemain terkenal di Liga Perdana Inggeris, Craig Bellamy percaya bahawa bintang Manchester United itu akan kembali bangkit dengan lebih hebat selepas kini beliau dikritik berikutan persembahan kurang bertenaga yang dipamerkannya.
Pemain antarabangsa Perancis itu telah dikeluarkan oleh Jose Mourinho pada dua perlawanan terakhir liga ketika bertemu Huddersfield Town (minit ke-65) dan Newcastle United pada minit ke-66.
Di samping itu, Pogba juga turut dilaporkan kurang berpuas hati dengan keputusan Mourinho yang memaksanya untuk beraksi di luar kebiasaan untuk bermain di posisi tengah bertahan.
Satu arahan yang jelas kurang disenangi pembelian termahal Manchester United itu.
Bagi Bellamy, apa yang berlaku terhadap Pogba ketika ini adalah salah satu proses pembelajaran yang akan lebih membuatkan pemain berusia 24 tahun itu lebih kuat dalam karier bola sepaknya.
“Semua ini adalah sangat bagus buat Pogba kerana dia telah banyak menerima pujian tetapi kadangkala sebagai seorang pemain, anda memerlukan perkara ini (kritikan),” jelas bekas penyerang antarabangsa Wales itu.
“Dia lebih tahu mengapa dia tidak beraksi dengan baik dan dia juga perlu mengetahui fakta bahawa ini adalah sesuatu yang tidak diingininya.”
“Tetapi ini adalah sebahagian daripada bola sepak dan sebahagian daripada perkembangan dalam meningkatkan dirinya.”
“Keadaan ini akan menjadikannya lebih kuat sebagai seorang pemain bola sepak.”
Musim ini, Paul Pogba telah menjaringkan tiga gol dan sembilan bantuan jaringan buat Manchester United dalam saingan Liga Perdana Inggeris.