Bintang Barcelona, Philippe Coutinho memasang impian untuk bertemu bekas pasukannya, Liverpool pada perlawanan akhir Liga Juara-Juara Eropah musim ini.
Jika ianya berlaku, maka pertemuan Barcelona-Liverpool pastinya akan menggamit memori buat Coutinho yang pernah berkhidmat bersama The Reds sebelum berhijrah ke Barca.
Menerusi temubual media yang dilaporkan SB Nation, Coutinho jelas menyuarakan keinginannya untuk kembali beraksi di Anfield dan kali ini situasinya berbeza apabila beliau bakal turun sebagai pencabar kepada bekas pasukannya itu.
Coutinho berkata, “Ianya menjadi impian untuk bermain di Anfield sekali lagi, perasaan yang amat berbeza, saya yakin.”
“Tetapi saya harus jujur dan mengatakan saya lebih suka bertemu Liverpool hanya di perlawanan akhir nanti.”
Sudah biasa
Barcelona terlebih dahulu akan melakukan kunjungan ke Old Trafford, awal pagi Khamis ini untuk memburu kemenangan pertama di gelanggang keramat berkenaan sebelum mengharungi aksi timbal balik di Nou Camp pada minggu berikutnya.
Mengulas mengenai perlawanan tersebut, Coutinho menyatakan bahawa beliau dan rakan sepasukan telah melakukan persediaan menjelang pertemuan tersebut.
Coutinho yang pernah beraksi menentang Manchester United ketika mewakili Liverpool bagaimanapun sedar bahawa Old Trafford adalah kubu kuat buat skuad Red Devils dengan sorakan padu dari penyokong setia mereka.
Namun, beliau menjelaskan bahawa segala tekanan tersebut sudah menjadi biasa baginya dan berharap beliau dan rakan sepasukan, terutama Luis Suarez akan dapat mengatasi tekanan tersebut dengan sebaik mungkin.
“Jika mereka (penyokong) menyorak ‘boo’ kepada saya dan Luis [Suarez], maka itu perkara biasa di Old Trafford kerana kami sudah biasa menghadapinya,” kata Coutinho.
“Tetapi ia sedikit pun tidak akan membezakan saya. Dan, lebih daripada itu, ia adalah insentif untuk kami bermain lebih baik dan lebih fokus.”
Tambah Coutinho lagi, “Saya tahu pertemuan dengan Manchester United adalah satu perlawanan yang istimewa.”
Fokus Barcelona
Ketika ini, Coutinho sering dikaitkan dengan perpindahan ke England, apabila terdapat sumber mendedahkan bahawa Manchester United dan Chelseasedang dalam perancangan memburu khidmat bitnang Brazil tersebut.
Apabila ditanya wartawan adakah beliau mempunyai percangan untuk kembali ke England, ini merupakan respon Coutinho:
“Tumpuan saya hanya terarah bersama Barcelona. Kembali ke England tidak bersesuaian dengan perancangan masa depan saya.”
“Ini adalah musim kedua saya di Sepanyol dan biarpun saya telah memenangi gelaran, namun saya sentiasa meletakkan sasaran yang lebih tinggi.”