Kekalahan 0-3 Chelsea kepada Barcelona dalam saingan Liga Juara-Juara, awal pagi tadi ternyata amat mengecewakan para penyokong The Blues yang mengharapkan agar pasukan mereka melangkah lebih jauh musim ini.
Dalam aksi pusingan kedua di Camp Nou itu, bintang Argentina, Lionel Messi menjaringkan gol melalui celah kaki penjaga gol Belgium itu sebanyak dua kali.
Selepas aksi sebelum ini yang memberikan The Blues kelebihan gol hasil keputusan seri 1-1, kesilapan Andreas Christensen menyebabkan Messi merampas bola dan melepaskan rembatan untuk mencipta gol pertama, sebelum menjaringkan gol kedua peribadinya dalam 45 minit yang seterusnya.
Penjaga gol Chelsea, Thibaut Courtois tampil memohon maaf dan mengakui kesilapan mudah yang dilakukan pemain termasuk dirinya menyebabkan Chelsea menelan kepahitan tersingkir daripada pentas itu.
“Untuk gol pertama, saya tidak menjangkakan Messi akan melakukan dari sudut yang begitu sempit. Saya lambat menutup ruang dengan kaki dan itu kesilapan saya.
“Mereka juga menjaringkan gol hasil daripada kesilapan kami walaupun Chelsea tampil dengan baik. Kami menggegarkan palang sebanyak dua kali dan jelas sekali kami tidak bernasib baik.
“Saya telah bertemunya beberapa kali dan telah dibolosi melalui celah-celah kaki. Untuk penjaga gol seperti saya, agak sukar untuknya menjaringkan gol dari jarak dua meter dalam keadaan sebegitu tetapi saya terpaksa menghadapinya,” kata pemain berusia 25 tahun itu.