Walaupun skuad kebangsaan kali ini dibarisi ramai pemain berbeza, pertahanan kental negara iaitu Corbin Ong percaya Harimau Malaya bakal tampil dengan strategi tersendiri bawah kendalian Kim Pan-gon untuk hadapi dua negara berbeza bagi siri persahabatan akan tiba
Malaysia bakal menghadapi dua aksi persahabatan yang akan bermula pada hari ini dengan Kepulauan Solomon menjadi negara pertama bakal menjadi cabaran buat skuad kebangsaan.
📽 Sekitar sesi latihan rasmi pada hari keempat kem latihan pusat skuad Harimau Malaya kendalian Kim Pan Gon di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, Terengganu, petang tadi.https://t.co/0YGjzutdRl#FAM #HarimauMalaya pic.twitter.com/9BB0xzAs0Y
— FA Malaysia (@FAM_Malaysia) June 13, 2023
Pada aksi persahabatan kali ini, beberapa nama baharu dipanggil untuk membarisi skuad kebangsaan berbanding pada perlawanan sebelum itu ketika mereka bertemu Turkmenistan serta Hong Kong di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Iskandar Puteri.
Aksi yang akan berlangsung kali ini bakal dijalankan di lokasi berbeza iaitu Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), Gong Badak, Terengganu serta dijangka bakal dihadiri oleh ramai penyokong Harimau Malaya.
Corbin Ong yang menjadi salah satu nadi utama kekuatan Harimau Malaya bawah kendalian Kim merupakan antara pemain yang sangat konsisten di posisi pertahanan kiri menerusi kualiti permainan diberikan.
Jelas Corbin, beliau percaya pengendali Harimau Malaya itu mampu membentuk strategi mantap untuk aksi persahabatan ini ketika menentang Kepulauan Solomon serta Papua New Guinea.
Menerusi pemain yang dipanggil kali ini, pertahanan Johor Darul Ta’zim (JDT) itu yakin mereka mempunyai kualiti serta gaya permainan tersendiri untuk memastikan kesebelasan utama menjadi miliknya.
“Berbanding aksi persahabatan pada Mac lalu menentang Turkmenistan dan Hong Kong di Stadium Sultan Ibrahim, ada beberapa muka baharu, jadi pasti kami perlukan keserasian, namun berdasarkan prestasi semasa mereka semuanya sangat bagus dan ianya tidak berdepan masalah, mereka yang dipilih pun adalah pemain yang berkualiti.
“Jadi saya percaya Pan Gon ada strateginya yang tersendiri, lagipun lawan skuad kebangsaan nanti adalah pasukan yang berbeza berbanding sebelum ini, begitu juga stadium juga berbeza di Pantai Timur.
“Bagaimanapun kami perlu bekerjasama sebagai satu pasukan dan memberikan 100 peratus kerana kami tidak mempunyai masa yang banyak kerana perlawanan hanya berbaki dua hari sahaja lagi sebelum berdepan Kepulauan Solomon,” katanya menerusi Berita Harian.
Untuk aksi kali ini beberapa pemain yang berada dalam prestasi terbaik dalam saingan Liga Super seperti Lee Tuck, Syihan Hazmi, dan beberapa pemain lain lagi.
Pada masa sama, Corbin Ong juga menasihatkan rakan sepasukan lain supaya berwaspada akan cabaran yang bakal diberikan oleh dua negara tersebut untuk mengelakkan keputusan tidak diingini berlaku.
Aksi esok pastinya bakal memberi peluang buat Kim untuk terus menilai prestasi semasa para pemain sebelum mereka menghadapi saingan Piala Asia yang akan berlangsung pada tahun hadapan.