Perlawanan antara Malaysia dan Nepal kelmarin menyaksikan pemain Johor Darul Ta’zim (JDT), La’Vere Corbin-Ong telah membuat penampilan antarabangsa pertama bersama skuad kebangsaan.
Penantian yang cukup lama buat peminat bola sepak tempatan untuk melihat antara pemain pertahanan kiri terbaik di Liga Malaysia itu menyarung jersi negara.
Bercakap kepada The Star Online, pemain berusia 28 tahun itu nyata gembira dengan penampilan sulung beliau dalam membantu skuad Harimau Malaya meraih kemenangan 2-0 bertemu lawan yang menduduki ranking ke 161 dunia tersebut.
Beliau juga dilihat tidak berdepan masalah untuk menyesuaikan diri dengan rakan sepasukan dan dapat membentuk gandingan baik bersama Syazwan Zainon di posisi sayap kiri.
”Ia adalah penampilan pertama (debut) yang baik buat saya. Kami mengawal permainan pada separuh masa pertama dan kami mencipta begitu banyak peluang.”
”Kemenangan 2-0 ini menunjukkan bagaimana kami beraksi dengan baik bersama-sama.”
Dalam pada itu, Corbin-Ong juga mahu menggunakan kesempatan diberikan untuk terus meningkatkan persefahaman bersama pemain lain di kem skuad kebangsaan.
”Saya telah menjalani latihan singkat bersama rakan sepasukan. Saya mengenali beberapa pemain dari JDT di sini, jadi saya tahu cara mereka bermain. Kami sudah pasti akan semakin meningkat sekiranya dapat berlatih bersama-sama dengan lebih kerap.”
Corbin yang sebelum ini beraksi bersama kelab Liga Divisyen Dua Belanda, Go Ahead Eagles menyertai JDT bagi menghadapi Liga Malaysia 2018.
Diharapkan dengan kehadiran beliau, dapat meningkatkan kualiti dan kekuatan buat skuad negara khususnya dalam menghadapi pusingan kelayakan Piala Dunia 2022 dan Piala Asia 2023.
Kredit foto: FAM