Corbin Ong Digantung, Cheng Hoe Akui Benteng Akan Terjejas

Corbin Ong Malaysia Vietnam Kelayakan Piala Dunia 2021

Bek kiri Malaysia, Corbin Ong nampaknya bakal terlepas aksi terakhir Kumpulan G, kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 berdepan Thailand, awal pagi Rabu.

Ini pastinya saat paling sukar buat pengendali, Tan Cheng Hoe untuk memikirkan siapa pengganti yang sesuai dek kerana, secara kasarnya, hanya Corbin Ong merupakan bek kiri natural dalam skuad negara yang telah dibawa dan diterbangkan ke Dubai, UAE.

Malaysia membawa lebihan pemain yang natural bermain di bek kanan iaitu seramai empat orang, iaitu Matt Davies, Dion Cools, Rizal Ghazali dan Syahmi Safari. Adakah Cheng Hoe tersilap langkah dalam proses penilaian untuk membawa pemain kali ini?

Dion Cools saat ini bolehlah dianggap sebagai pengganti terus Shahrul Saad walaupun sudah sekian lama beliau tidak bermain di posisi bek tengah. Bersama Malaysia, beliau kembali ke posisi tersebut atas dasar skuad kebangsaan sangat perlukan kudratnya.

Cheng Hoe pernah menguji seorang lagi pemain untuk bermain di posisi bek kiri ketika aksi tidak rasmi menentang Kuwait. Natijahnya, Malaysia bolos tiga gol berpunca daripada sebelah kiri dan perlawanan berakhir Malaysia tewas 1-4 kepada Kuwait.

Siapakah pemain lain selain Corbin Ong yang beraksi di posisi bek kiri? Cheng Hoe telah menguji Syahmi Safari dalam perlawanan tersebut untuk menggantikan Corbin Ong dan ia menjadi lubuk buat pasukan Kuwait di babak kedua dengan dua gol.

Babak pertama, kesilapan Corbin Ong yang menerpa ke atas sehingga meninggalkan posisinya menyebabkan pemain lawan menyelusup masuk seterusnya memberikan Kuwait jaringan pendahuluan menerusi Ahmad Aldhefeery pada minit ke-21.

Seakan-akan mengetahui ia bukan posisi Syahmi Safari, Kuwait fokus mengasak di sebelah kiri. Kegagalan Syahmi Safari menyesuaikan diri dengan segera menyebabkan Kuwait menambah dua lagi gol menerusi Fahad Alhajeri dan Shabaib Alkhaldi.

Satu lagi jaringan Kuwait dihasilkan menerusi sepakan percuma di depan kotak penalti menerusi Fahad Al-Alabraim dan satu gol saguhati skuad kebangsaan telah dijaringkan oleh penyerang naturalisasi yang mendapat perhatian ramai, Guilherme de Paula.

Cheng Hoe ketika diajukan persoalan itu dalam sidang media harian bersama pihak media berkata, “Kami perlu menyediakan skuad terbaik untuk berdepan Thailand. Kita lebih fokus kepada kekuatan pasukan keseluruhannya [bukan kekuatan individu].”

“Bek kiri, kita tahu Corbin Ong memang regular dan ketiadaannya sedikit sebanyak boleh menjejaskan kita dari segi pertahanan. Kita yakin pemain-pemain yang kita bawa mahu peluang bermain dan mereka akan diberikan peluang bermain,” jelasnya.

Untuk rekod, sejak penampilan pertamanya dalam aksi persahabatan menentang Nepal pada Jun 2019, tiada lagi pemain lain dapat mengambil alih posisi bek kiri daripada Corbin Ong kecuali Syazwan Andik sebagai pemain gantian ketika aksi persahabatan berdepan Tajikistan. Beliau telah mengumpul 13 kaps antarabangsa.

Menurut perkongsian wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam dalam statusnya di Twitter, Dion Cools, Arif Aiman dan Nazmi Faiz adalah antara calon utama untuk mengisi posisi yang ditinggalkan oleh tiga pemain akibat penggantungan.

Selain Corbin Ong, Malaysia turut akan kehilangan khidmat pemain tengah, Syamer Kutty Abba dan pemain sayap menyerang, Mohamadou Sumareh. Untuk dua pemain tersebut, tiada masalah buat Cheng Hoe untuk mencari pengganti yang sesuai.

Berdasarkan perkongsian daripada Zulhelmi Zainal Azam, adakah Cheng Hoe bakal memperjudikan sekali lagi Dion Cools untuk posisi yang beliau jarang sekali bermain? Berbanding meletakkan Syahmi Safari, itulah pilihan terbaik yang berada di tangannya.

Baca lagi artikel lain mengenai Corbin Ong dan skuad kebangsaan:

Adakah Malaysia Akan Sertai Indonesia Di ‘Playoff’ Kelayakan Piala Asia 2023?

Masih Wajarkah Safawi Rasid & Sumareh Berada Dalam XI Malaysia Berdepan Thailand?

Corbin-Ong Gembira Dengan Penampilan Sulung Bersama Skuad Negara

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN