Jersi bola sepak pada masa kini bukanlah sekadar sehelai fabrik yang perlu dipakai pemain untuk membezakan antara dua pasukan yang beraksi.
Jersi ini sudah menjadi platform yang pelbagai. Paling ketara, ianya adalah peluang pemasaran yang cukup besar untuk penaja menayangkan logo mereka di hadapan jersi.
Dari perspektif kelab, ia turut menjadi peluang untuk pasukan menjana keuntungan menerusi tajaan daripada pelbagai syarikat.
Selain itu, jersi turut menjadi tempat berkarya dengan pelbagai corak yang di luar norma sesebuah jersi bola sepak mula diperagakan.
Trend ini dapat dilihat pada jersi kedua dan ketiga pasukan. Lazimnya, jersi ketigalah menjadi tempat untuk corak yang luar biasa ini memandangkan jersi pertama terikat dengan corak tradisi pasukan.
Jersi sebagai pemberi mesej
Kini, jersi juga sudah menjadi ruang untuk sesebuah mesej disampaikan. Sama ada mesej khidmat masyarakat atau apa saja – jersi juga sudah menjadi platform.
Sebagai contoh, Selangor pada musim ini melancarkan jersi kempen kesedaran dan solidariti bagi pesakit kanser hasil dari kisah inspirasi pemain mereka sendiri iaitu Brendan Gan.
JERSI AWAY SELANGOR FC MUSIM 2022
Bertemakan #TerusBerjuang sempena solidariti bersama para pesakit kanser di dunia, Selangor FC melancarkan jersi away terbaru khas untuk para penyokong SFC.
Dapatkan Jersi terbaru ini bermula hari inihttps://t.co/02SffOp8Xc
— Selangor FC (@selangorfc) February 4, 2022
Terkini, pasukan di England iaitu Reading telah melancarkan jersi baharu mereka dengan pendekatan berbeza.
Lazimnya, jersi pertama mereka akan berwarna biru dan putih dengan corak jalur melintang (hoop). Jika anda merupakan pengikut Premier League tegar, pastinya anda akan kenal dengan corak jersi mereka.
Untuk musim baharu, mereka melakukan perubahan pada corak di lengan. Musim ini, mereka mengenakan corak garis-garis berwarna biru dan merah.
We’re proud to unveil our 2022-23 @MacronSports home kit. Alongside the classic blue and white hoops this season, sit stripes!
We can’t do everything, but we can’t do nothing. Let @UniofReading warming stripes start your climate conversation!#ShowYourStripes #HoopsForTheFuture
— Reading FC (@ReadingFC) July 25, 2022
Sekali pandang, ianya tidaklah begitu indah di pandangan. Namun ianya sarat dengan mesej kepada setiap mata yang melihatnya.
Corak pada lengan jersi pertama Reading ini adalah berkisarkan dengan perubahan iklim (climate change) yang kini semakin hari semakin menampakkan kesannya.
Corak garis-garis berwarna merah dan juga biru itu melambangkan trend perubahan iklim di kawasan Reading iaitu Berkshire yang kini semakin membimbangkan.
Reading's new home shirt is, let's face it, pretty jarring to look at. There's a method behind the madness of the sleeves though.
The lines represent average temperatures for Berkshire across the club's history, in an effort to highlight the effects of climate change. pic.twitter.com/IdqP2GDBZe
— Phil Delves (@phildelves) July 25, 2022
Lebih menarik, jersi pertama Reading ini dibuat menggunakan 100% botol kitar semula dan ianya mesra alam.
Sebagai konteks, isu perubahan iklim terutamanya di United Kingdom (UK) semakin membimbangkan dengan cuaca semakin panas.
Untuk rekod, UK baru sahaja mengalami gelombang panas (heatwave) yang menyebabkan suhu di sana mencecah 40 darjah celsius.
Usaha yang dilakukan oleh Reading ini pastinya mampu memberikan impak kesedaran kepada semua terutamanya penyokong kelab.
Dengan menggunakan jersi pertama sebagai platform, mesejnya akan sampai dengan lebih luas kerana mereka akan lebih kerap menggunakannya berbanding jersi-jersi lain.