Perlawanan final ke-2 Copa Libertadores di antara Boca Juniors dan River Plate telah disahkan akan diadakan di Stadium Santiago Bernabeu. Ianya kira-kira 6,000 batu jauhnya dari Buenos Aires.
Dalam perlawanan pertama kedua-dua pasukan terikat 2-2. Copa Libertadores adalah kejohanan antara kelab terbesar di Amerika Selatan. Ianya adalah seperti Liga Juara-Juara Eropah.
Perlawanan ini adalah perlawanan terbesar di Argentina. Dan statusnya lebih besar kerana ianya berlangsung di final Copa Libertadores.
Jadi perlawanan ini dianggap superclasico terbesar dalam sejarah Argentina dan kedua-dua kelab.
Kontroversi serangan ke atas bas Boca Juniors
Datuk Bandar Buenos Aires, Horacio Rodriguez Larreta menganggap perbuatan itu didalangi oleh mafia bola sepak.
Sehari sebelum itu, polis menyerbu rumah salah seorang ketua Barra Brava (digelar Ultras di Eropah) – penyokong fanatik River Plate yang sangat berpengaruh. Polis merampas wang sekitar £207,285 (sekitar RM1.12 juta) dan 300 keping tiket perlawanan akhir.
Derbi panas 2 kelab Buenos Aires itu ditangguhkan pada minggu lalu selepas insiden serangan ke atas bas Boca Juniors. Beberapa pemain Boca Juniors terkena serpihan kaca daripada tingkap bas serta gas pemedih mata yang digunakan polis untuk meleraikan kelompok penyokong fanatik. Pablo Perez mengalami kecederaan agak serius.
Carlos Tevez menyatakan beliau terkejut dengan tindakan polis menggunakan gas pemedih mata yang membuatkan pemain Boca Juniors juga terkena. Tevez memberitahu beliau mengalami demam dan muntah-muntah selepas insiden serangan itu.
Perlawanan kedua final Copa Libertadores akan diadakan pada 9 Disember 2018 di Santiago Bernabeu. Berikut adalah beberapa kontroversi penganjuran final kedua itu.
Boca Juniors meminta kemenangan percuma
Pihak pengurusan Boca Junores telah meminta agar kemenangan diberikan terus kepada mereka. Antara yang bersuara ialah legenda Boca Juniors, Diego Maradona. Menurut Maradona, CONMEBOL harus menghukum River Plate selepas insiden yang melibatkan penyokong mereka.
Selain itu Boca Juniors mendakwa, perlawanan kedua akan menjadi tidak adil kepada mereka kerana beberapa pemain mereka cedera kerana perbuatan penyokong River Plate.
Pablo Perez antara yang mengalami kecederaan serius di matanya kerana serangan bas itu. River Plate didenda £312,734 ataupun sekitar RM1.67 juta kerana keganasan penyokong tersebut.
CONMEBOL gagal kendalikan keadaan
CONMEBOL kini menjadi mangsa kritikan peminat terutama sekali di Argentina. Mereka gagal menyediakan pasukan dan prosedur keselamatan secukupnya untuk perlawanan derbi terbesar di Argentina itu.
Kredibiliti mereka diuji dan jelas sekali CONMEBOL gagal mengawal keadaan dengan baik. Sistem pengurusan mereka dibogelkan dengan teruk.
Para petugas keselamatan menyembur gas pemedih mata yang memberikan impak kepada pemain. Bas pemain diserang dengan pelbagai objek ketika dalam perjalanan ke stadium.
Pemilihan Santiago Bernabeu tambah lagi kontroversi
Mereka kemudian memilih Sepanyol sebagai lokasi perlawanan kedua. Satu langkah yang sangat mengejutkan ramai pihak. Masih ada banyak stadium lain boleh menganjurkan perlawanan itu di Argentina ataupun di negara jiran mereka.
Presiden Persatuan Bola Sepak Sepanyol, Luis Rubiales pula menyambut baik idea CONMEBOL itu. Beliau menyatakan: “Mereka adalah pasukan daripada salah sebuah negara yang sangat rapat dengan Sepanyol. Kami di di Sepanyol sangat berbesar hati untuk menjadi venue perlawanan ini.”
CONMEBOL cuba mengambil kesempatan untuk menggunakan jenama superclasico ini bagi mempromosikan Copa Libertadores di mata dunia. Mereka juga seakan-akan mengambil kesempatan untuk mengalihkan perhatian dunia kepada isu panas superclasico ini. CONMEBOL dihentam teruk kerana dianggap sebagai organisasi korup.
Isu lain
Jurulatih River Plate, Marcelo Gallardo dilihat berada dalam bilik persalinan pasukan dalam perlawanan separuh akhir kedua menentang Gremio. Sedangkan Gallardo ketika itu digantung perlawanan. CONMEBOL pula tutup mata akan perkara itu. Mana mungkin mereka tidak kena Marcelo Gallardo dan membenarkan beliau berada di bilik persalinan?
Seterusnya, pemain tengah River Plate, Bruno Zuculini bermain pada pusingan 16 pasukan akhir sedangkan beliau sepatutnya digantung. Jika diikutkan, River Plate boleh disingkirkan kerana kesalahan itu.
Selepas ini Kapten River Plate – Leo Ponzio – mungkin tidak dibenarkan beraksi kerana beliau pernah disabitkan dengan kesalahan mengatur perlawanan ketika bermain untuk Real Zaragoza di Sepanyol satu ketika dahulu.
Selepas FIFA berubah pucuk pimpinan kepada Gianni Infantino, Presiden CONEMBOL – Alejandro Dominguez – lebih sibuk dengan perkara mengglobalisasikan bola sepak Amerika Selatan sehingga terlupa untuk mendekatkan bola sepak Amerika Selatan dengan penyokong tempatan di sana.
Tidak cukup dengan itu Alejandro Dominguez adalah orang yang mencdangkan kepada Infantino agar Piala Dunia dianjurkan 2 tahun sekali. Kegagalan mengendalikan perlawanan final Copa Libertadores kali ini membuktikan Dominguez adalah pemimpin yang gagal.
Paling mengejutkan apabila beliau mengumumkan final kedua Copa Libertadores akan diadakan di Sepanyol. Perlawanan itu kini telah dijauhkan daripada peminat di Amerika Selatan. Sebaliknya fokus kepada orang Argentina yang tinggal di Sepanyol serta audien global.
Pembahagian tiket turut dipertikaikan. Hanya 5,000 tiket diberikan kepada River Plate, dan angka yang sama kepada Boca Juniors. 20,000 tiket lagi dijual kepada orang Argentina di Sepanyol. 6,000 tiket adalah hak milik koporat. Dan 40,000 lagi dijual kepada penyokong lain ataupun tiket terbuka.
Ramai juga menganggap tindakan Alejandro Dominguez ini ibarat menukul paku pada keranda beliau sendiri. Ketika ini beliau berusaha mempromosikan kempeen bidaan Piala Dunia 2030 oleh Paraguay dan Uruguay sebagai hos bersama. Argentina dalam perbincangan untuk menyertai 2 negara tesebut.
Kini beliau seolah-olah memberitahu dunia bahawa Sepanyol adalah destinasi bola sepak lebih baik. Hal ini kerana Sepanyol dalam perbincangan menyertai Maghribi dan Portugal untuk menjadi penganjur bersama Piala Dunia 2030.
Jadi, mesej yang salah telah dihantar oleh Dominguez kepada dunia. Ianya boleh digunakan pakatan Sepanyol-Maghribi-Portugal untuk menyatakan kenapa mereka calon lebih baik daripada gandingan negara CONMEBOL.
Dani Alves menganggap tindakan CONMEBOL itu mengecewakan. Beliau berkata: “Bagi saya, sebagai seorang pemain, apabila menyaksikan Boca-River bermain di luar Amerika Selatan – ianya adalah perkara yang paling memalukan yang pernah saya lihat.”