Jonathan Alves menjaringkan gol tunggal untuk Barcelona pada minit ke-32 dalam perlawanan kedua separuh akhir Copa Libertadores 2017.
Kelab Barcelona yang mewakili Ecuador itu gagal menyekat Gremio dari Brazil. Gremio terlebih dahulu menang menewaskan Barcelona pada perlawanan pertama minggu lepas.
https://www.youtube.com/watch?v=xC_fuTI02Gw
Pada perlawanan pertama yang berlangsung minggu lalu, Luan Vieira berjaya menjaringkan dua gol untuk Gremio. Edilson Mendes menambah satu lagi jaringan untuk Gremio menang 3-0.
Meskipun Barcelona menang pada perlawanan timbal balik, Gremio mara ke perlawanan akhir menerusi agregat 3-1.
River Plate tumbang
Gergasi Argentina, River Plate tewas kepada Lanus menerusi agregat dalam satu lagi aksi separuh akhir. Dalam perlawanan minggu lepas, River Plate menang 1-0.
Aksi sesama kelab Argentina itu menampilkan pesta gol dalam perlawanan kedua. River Plate mendahului dalam perlawanan kedua melalui gol Ignacio Sccoco pada minit ke-17. Pada minit ke-22, Gonzalo Montiel menambah gol kedua River Plate. River Plate dilihat selesa melalui agregat 3-0.
Jose Sand menjaringkan dua gol minit-minit akhir sebelum tamat separuh masa pertama untuk Lanus. Lauro Acosta menjaringkan gol ketiga Lanus pada minit ke-61.
Alejandro Silva Gonzales menjadi hero untuk Lanus dengan menjaringkan gol kemenangan melalui sepakan penalti. Pasukan tuan rumah dihadiahkan sepakan penalti selepas salah seorang pemainnya dijatuhkan di dalam kotak penalti.
Aksi akhir
Gremio akan menjadi hos perlawanan pertama menentang Lanus pada 22 November. Lanus pula akan menjadi hos perlawanan kedua seminggu kemudian.
Peraturan gol tempat lawan tidak digunakan sekiranya agregat masih terikat selepas tamat kedua-dua perlawanan. Perlawanan akan dibawa ke masa tambahan sekiranya agregat terikat.
Pemenang Copa Libertadores 2017 akan beraksi ke Piala Kelab Dunia 2017.