Separuh akhir pertama bagi Copa Del Rey berlangsung pagi tadi dengan tumpuan terarah kepada persaingan di antara 2 jaguh bola sepak Sepanyol.
Barcelona dan Real Madrid bertemu di Camp Nou untuk mendapatkan bekalan selesa menjelang aksi kedua yang akan diadakan di Santiango Bernebau.
Hasil sumber The Guardian, kedua-dua pasukan beraksi dalam perlawanan yang seimbang walaupun pada mulanya Barcelona dilihat sebagai pasukan pilihan untuk memenangi perlawanan ini kerana faktor prestasi semasa.
Perlawanan ini menyaksikan kedua-dua pasukan tidak menurunkan pemain utama mereka di kesebelasan utama.
Lionel Messi hanya masuk pada minit ke-63, begitu juga dengan Gareth Bale yang masuk seminit kemudian.
Walaupun tanpa 2 bintang tersebut, perlawanan ini dilihat sebagai tumpuan kepada pasangan pemain Brazil yang menjaringkan gol dalam perlawanan ini.
Vinícius Júnior memberikan inspirasi kepada Real Madrid dalam perlawanan El Clasico ini sementara Malcom menjaringkan gol penyamaan untuk pasukan tuan rumah.
Gerakan Junior dari sebelah kiri jelas berbahaya dan ianya berjaya memberikan gol pendahuluan buat Real Madrid yang dijaringkan gol Lucas Vazquez pada minit ke-6.
Barcelona yang berusaha mencari gol penyamaan berjaya mendapatkan hasilnya apabila Malcom merembat bola masuk ke dalam gawang selepas Keylor Navas berada di luar posisinya di awal separuh masa kedua.
Kedua-dua pasukan masih lagi berpeluang untuk mencari layak ke perlawanan akhir apabila mereka sekali lagi bertemu pada 28 Februari ini.