Chile mengukuhkan cengkaman dalam saingan kumpulan C selepas mencatatkan kemenangan kedua setelah berjaya menundukkan Ecuador 2-1 di Arena Fonte Nova, pagi tadi.
Kemenangan itu juga telah mengesahkan kemaraan juara bertahan tersebut ke peringkat suku akhir sekaligus meneruskan pemburuan kejuaraan hatrik buat skuad bimbingan Reinaldo Rueda itu.
Manakala bagi Ecuador pula, mereka perlu untuk mencatatkan kemenangan bertemu Jepun bagi menghidupkan sedikit peluang mereka untuk turut mara ke suku akhir.
Chile hanya memerlukan lapan minit untuk membuka tirai jaringan menerusi pemain sayap kanan, Jose Fuenzalida.
Pemain yang beraksi untuk Club Deportivo Universidad Catolica itu merembat cantik bola dalam kawasan penalti hasil sepakan penjuru dilakukan Charles Aranguiz.
Bola terlebih dahulu terkena tiang gol lalu menggegarkan jaring bagi menewaskan penjaga gol Ecuador, Alexander Dominguez.
Aksi selepas itu hanya sedikit hambar tanpa serangan berbahaya yang dapat dijelmakan kedua-dua pasukan.
Sehinggalah pada minit ke-26 apabila pengadil perlawanan dari Argentina, Patricio Loustau menghadiahkan sepakan penalti buat Ecuador selepas penjaga gol Chile, Gabriel Arias mengasari
Jhegson Mendez dalam kawasan penalti.
Kapten, Enner Valencia tidak melepaskan peluang dengan menyempurnakan sepakan tersebut untuk kembali menyamakan kedudukan.
Walaupun menikmati musim yang malap di England, Alexis Sanchez masih mampu memberikan sumbangan berkesan buat Chile dengan menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-51.
Mendapat umpanan dari Aranguiz dalam kawasan penalti, Sanchez melepaskan rembatan yang gagal dihalang Dominguez untuk kembali menceriakan penyokong Chile.
Jaringan tersebut sudah cukup untuk mengesahkan kemenangan kedua buat Chile dan pertemuan terakhir berdepan Uruguay bakal menjadi medan sama ada mereka akan ke peringkat suku akhir sebagai juara kumpulan atau sebaliknya.
Kemenangan atau keputusan seri yang dicatatkan akan menjadikan Chile sebagai juara kumpulan manakala kekalahan akan meletakkan mereka di tempat kedua.