Pasukan tuan rumah, Brazil berkenduri jaringan pada aksi terakhir peringkat kumpulan A selepas berjaya menewaskan Peru 5-0 di Arena Corinthians.
Kemenangan besar itu menjadikan Brazil selaku juara kumpulan setelah mengumpul 7 mata hasil dua kemenangan dan satu seri dicatatkan.
The Selecao juga masih tidak dibolosi sebarang jaringan pada tiga perlawanan tersebut dan Alisson Becker terus mendapat kepercayaan Tite bagi mengawal gawangnya.
Skuad Samba itu memperagakan corak permainan menarik sejak dari awal permainan dengan menghasilkan tiga jaringan pada separuh masa pertama.
Casemiro membuka tirai jaringan pada minit ke-12 menerusi tandukan berpunca daripada situasi sepakan penjuru di sebelah kanan pintu gol Peru.
Hanya tujuh minit berselang, Roberto Firmino dengan tenang mengawal bola dengan baik dalam kawasan penalti sekaligus menewaskan penjaga gol, Pedro Gallese dengan ‘trademark’ beliau bagi menjadikan kedudukan 2-0
Tidak cukup dengan dua jaringan tersebut, Everton meledakkan rembatan padu dari luar kawasan penalti yang gagal dihalang Gallese pada minit ke-32.
Pemain pertahanan kanan, Dani Alves turut tidak mahu ketinggalan untuk meletakkan nama selaku penjaring setelah menjaringkan gol keempat.
Mendapat umpanan cantik dari Firmino dalam kawasan penalti di minit ke-52, Alves mengorak langkah ke hadapan dan kemudiannya melepaskan rembatan deras menerjah gawang Peru.
Pemain gantian, Willian menutup kenduri gol tuan rumah pada minit ke-90 menerusi rembatan luar kawasan penalti yang sekali lagi gagal dinafikan Gallese.
Brazil hampir menambah jaringan keenam tetapi sepakan penalti diambil Gabriel Jesus pada masa kecederaan berjaya dibaca dengan baik Gallese yang menepis keluar sepakan tersebut.
Turut mengiringi Brazil ke peringkat seterusnya ialah Venezuela selepas mereka berjaya menumpaskan Bolivia 3-1 pada satu lagi aksi kumpulan A.