Marca melaporkan Roman Abramovich sudah hilang sabar dengan Antonio Conte. Namun pengendali dari Itali itu menepis dakwaan itu.
Conte mengesahkan berita bahawa Abramovich datang bertemu beliau di pusat latihan di Cobham sebelum ini. Namun mereka bercakap seperti biasa.
Tidak ada isu berkaitan dengan kedudukan Conte di Chelsea dibangkitkan. Abramovich hanya berbincang tentang bola sepak terutama sekali perlawanan Chelsea menentang Bournemouth dan juga Roma.
Chelsea ketika itu dalam rangka persiapan menentang AS Roma. Jadi, Conte berkata:
“Ya! Encik Abramovich ada datang ke pusat latihan kami selepas perlawanan menentang Bournemouth. Beliau mahu melihat pasukan berlatih dan kemudian mahu bercakap dengan kami. Apa yang pelik? Benda itu normal.”
Marca melaporkan Abramovich kini mempersoalkan tindakan Conte menyingkirkan Diego Costa daripada pasukan Chelsea pada awal musim ini.
Marca juga melaporkan yang Conte kini tidak ada akses langsung kepada Abramovich. Sebaliknya, beliau perlua melalui Marina Granovskaia yang bertanggungjawab dalam urusan perpindahan Chelsea kali ini.
Conte jelas kecewa dengan laporan Marca. Beliau berkata yang pihak pengurusan tertinggi masih di belakang beliau. Tiada isu berkaitan dengan Costa dibangkitkan di dalam pertemuan tersebut.
Conte dan Chelsea akan berhadapan dengan Manchester United dalam perlawanan EPL minggu ini. Sudah pastinya mereka mahu menebus kekalahan di tangan Roma tempoh hari dalam perlawanan ini.
Antonio Conte juga menggariskan isu tanggungjawab pemain di dalam padang dalam sesi latihan beliau sepanjang minggu ini.