Pengurus Tottenham Hotspur, Antonio Conte dilaporkan kini telah menawarkan diri kepada kelab Perancis, Paris Saint-Germain (PSG) untuk mengendalikan pasukan tersebut.
Perkara ini dilihat ibarat orang mengantuk lalu disorongkan bantal buat PSG yang kini dilihat sudah jemu dengan Mauricio Pochettino.
PSG dilaporkan tidak lagi suka dengan Pochettino dan mahu melepaskan pengurus tersebut walaupun berjaya menghadiahkan gelaran Ligue 1 kepada mereka.
Tetapi, asbab kepada mahunya perpisahan dilakukan oleh PSG terhadap Pochettino adalah kerana mereka berasa kecewa atas kegagalan beliau untuk memberikan gelaran UEFA Champions League kepada mereka walaupun skuad telah dibarisi Lionel Messi.
Dalam masa yang sama, Pochettino juga dilihat terbuka untuk berpisah dengan PSG dengan dijangka pengurus tersebut ingin kembali semula kepada Tottenham Hotspur.
Bukan yang pertama
Conte dilihat bersedia untuk menawarkan diri ke PSG jika impiannya untuk memastikan Tottenham kembali mencabar kejuaraan tidak dapat direalisasikan.
Hal ini kerana, Conte mahu membina semula skuad Tottenham tetapi jika tiada sebarang sokongan dari pihak atasan kelab terutamanya ketika jendela perpindahan, ianya tiada guna.
Walaupun Conte dilihat begitu ‘berselera’ untuk ke PSG, tetapi beliau sebenarnya bukanlah calon utama kelab itu untuk dijadikan pengurus.
Sebaliknya, PSG lebih mahukan Zinedine Zidane untuk menjadi individu yang akhirnya menghadiahkan gelaran Eropah kepada mereka.
Rekod cemerlang Zidane ketika di Real Madrid dalam pertandingan Eropah cukup menarik perhatian PSG akan tetapi ia tidak semua yang disangka untuk membawa pengurus itu.
Perkara ini disebabkan Zidane yang tidak lagi menguruskan mana-mana pasukan dijangka sedang bersedia untuk menggantikan Didier Deschamps sebagai jurulatih Perancis.
Deschamps pula dilaporkan mahu melepaskan jawatannya sebagai jurlatih Perancis selepas Piala Dunia 2022 ini.
Jadi, siapakah yang bakal menjadi pengurus PSG pada musim hadapan? Adakah masih Pochettino atau Conte akhirnya tiba di Paris?
Sama-sama kita nantikan.