Skuad Chelsea kendalian Antonio Conte hanya mampu berkongsi satu mata dengan Liverpool, dalam saingan liga perdana Inggeris Sabtu lalu apabila jaringan tidak dijangka Willian menyamakan kedudukan kepada 1-1 selepas The Reds membuka tirai jaringan menerusi Mohamed Salah.
Tetapi susulan keputusan berkenaan, mereka kini ketinggalan 11 mata di belakang pendahulu Liga Perdana Inggeris, Manchester City.
Malah, Conte juga bimbang peningkatan ‘menakjubkan’ Manchester City boleh membuatkan pemburuan takhta Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini membosankan tatkala pasukannya masih bergelut untuk bersaing.
“Perjalanan Manchester City luar biasa, tidak?” kata Conte.
“Saya fikir Manchester City adalah pasukan yang kuat musim ini. Juga seperti musim lalu, Manchester City adalah pasukan yang menakjubkan.
Conte percaya Pep Guardiola akan melakukan sesuatu ketika jendela perpindahan musim panas yang akan menjadi kunci kepada peningkatan Manchester City dan memberi amaran apabila satu lagi jendela perpindahan dibuka, Januari ini.
“Kemudian, selepas jendela perpindahan, mereka membawa masuk sasaran utama mereka dan meningkat dengan banyak.
“Mereka juga mungkin boleh melakukannya pada Januari, pada masa depan. Kerana itu, kami perlu bimbang kerana jika kami mahu bersaing dengan Manchester City kami perlu bekerja keras dan kemudian membuat keputusan terbaik pada perpindahan.” jelasnya.
Penjaga gol Chelsea, Thibaut Courtois berkata jadual perlawanan yang padat ketika musim sejuk mampu memberi kesukaran kepada Manchester City dan membenarkan pesaing terdekat merapatkan kedudukan.
“Kami perlu berada di sana untuk kekal menang dan berharap untuk merapatkan kedudukan dengan mereka, dan kemudian pada penghujung musim mungkin kami boleh mengatasi mereka.
“Tetapi ketika ini mereka adalah pasukan terbaik dalam liga dan sukar untuk mereka menggugurkan mata.” ujarnya.