Antonio Conte sudahpun kembali melaporkan diri di Chelsea untuk latihan pra musim pada Sabtu lalu. Conte tetap bertindak kembali ke Chelsea walaupun masa depannya bersama kelab London itu terus diselebungi pelbagai spekulasi.
Selain daripada Conte, pemain-pemain The Blues yang tidak terlibat dengan Piala Dunia turut kembali pada Sabtu lalu untuk menjalani pemeriksaan perubatan selama dua hari, sebelum latihan penuh diadakan.
Laporan dari London turut mengatakan pengurus berbangsa Itali itu telah melakukan perjumpaan dengan pihak pengurusan tertinggi kelab, dan sekiranya tiada perubahan dan keputusan dalam masa terdekat, Conte akan memenuhi baki kontrak selama semusim lagi di Stamford Bridge.
Masa depan Conte bersama Chelsea dan hala tujunya selepas itu telah menjadi spekulasi sejak beberapa bulan yang lalu.
Maurizio Sarri yang membimbing Napoli pada musim lalu dikatakan akan menggantikan Conte di Stamford Bridge, namun masih terikat bersama kelab Serie A itu walaupun Napoli sudah mengesahkan perlantikan Carlo Ancelotti.
Conte yang berusia 48 tahun mempunyai klausa di dalam kontrak bersama Chelsea yang membenarkan beliau menerima pampasan berjumlah £9 juta sekiranya dilepaskan.
Bagaimanapun, nilai tersebut akan berkurangan sekiranya Conte pergi untuk menerima tawaran dari pihak lain.
Kebanyakkan kekosongan yang dikaitkan dengan Conte, termasuk untuk menguruskan skuad kebangsaan Itali bagaimanapun telah diisi.
Conte membawa Chelsea muncul juara Liga Perdana Inggeris pada musim pertama di Stamford Bridge, dan kemudiannya kejuaraan Piala FA pada musim lalu.
Perlawanan pra musim pertama Chelsea akan diadakan di Australia, dengan Perth Glory bakal menanti pada 23 Julai hadapan.