Kegagalan pemain Chelsea melaksanakan tugas mereka di depan pintu gol yang sekali gus menyaksikan peluang Blues bersaing merebut kedudukan empat terbaik dalam Liga Perdana Inggeris berada dalam bahaya setelah diikat dengan keputusan seri 1-1 menentang West Ham, semalam mengundang kritikan pedas daripada pengurus pasukan itu, Antonio Conte.
Skuad bimbingan Conte berada di depan menerusi jaringan Cesar Azpilicueta pada babak pertama permainan di Stamford Bridge.
Namun, Chelsea mempersiakan begitu banyak peluang bagi mememastikan kedudukan lebih selesa dan sebaliknya Javier Hernandez yang di bawa masuk dari bangku simpanan menyumbat gol penyamaan ketika perlawanan berbaki 17 minit untuk tamat.
Chelsea yang menghuni tempat kelima kini keciciran 10 mata belakang pasukan di kedudukan keempat, Tottenham dengan enam perlawanan berbaki. Keputusan mengecewakan itu boleh menutup peluang mereka untuk layak ke Liga Juara-Juara.
Penyokong telah bertindak mengejek skuad Chelsea sebaik perlawanan berakhir dan ketika ditanya sama ada skuad bimbingannya mampu berada dalam kelompok empat terbaik, Conte berkata, dia tidak tahu dan berharap dapat memberikan yang terbaik.
“Saya benar-benar tidak tahu. Kami akan cuba memberikan yang terbaik. Saya sendiri tidak tahu perubahan apa yang boleh kami lakukan.
“Kami amat kecewa. Kami berada di kedudukan ini kerana terlalu banyak peluang dipersiakan bagi mengutip tiga mata penuh. Kami tidak cukup klinikal. Malang sekali kerana kami menguasai perlawanan. Pasukan lain di dalam liga lebih klinikal. Inilah kebenarannya. Kami perlu memperbaiki prestasi,” kata Conte
Menurut Conte, beliau sudah bosan berulang kali mengingatkan pemainnya supaya memanfaatkan setiap peluang untuk menghidupkan peluang meraih slot ke saingan Liga Juara-juara Eropah musim depan.
Namun, ujar pengurus berbangsa Itali itu, pemainnya masih melakukan kesilapan sama dan seolah-olah tidak mengambil serius terhadap apa yang diperkatakannya selama ini.
“Saya sangat kecewa dan saya harap pemain-pemain saya turut merasai perkara yang sama selepas pulang ke rumah nanti.
“Mereka tidak boleh sewenang-wenangnya menerima keputusan seri ini dan mengatakan kami hanya tidak bernasib baik. Jika mereka berfikir seperti itu, mereka tidak akan menghasilkan sesuatu yang positif di kemudian hari.
“Saya mahukan pemain saya lebih realistik selepas ini. Jika perlawanan tahap ini pun tidak dapat dimenangi, usah bermimpi untuk beraksi di kejohanan lebih besar seperti Liga Juara-juara,” tegasnya.
Keputusan seri itu menyaksikan The Blues terus ketinggalan 10 mata dengan Tottenham Hotspur yang berada di kedudukan keempat Liga Perdana Inggeris dengan hanya berbaki enam perlawanan sahaja lagi.