Tiada siapa menyangka Johor Darul Ta’zim mampu memberi impak yang besar dalam saingan ACL musim 2022 ini dengan begitu cemerlang setelah buat pertama kali melayakkan diri lebih jauh berbanding musim-musim sebelum itu terkandas di peringkat kumpulan.
Pada asalnya tidak ramai yang melihat JDT mampu mengorak langkah lebih jauh setelah pasukan tersebut berada bersama kelab-kelab gergasi sebelum anak buah Benjamin Mora mencipta kejutan demi kejutan dalam permainan termasuk menyingkirkan Ulsan Hyundai pada perlawanan terakhir peringkat Kumpulan I semalam dengan keputusan 2-1.
Semalam, laman rasmi Instagram Johor Southern Tiger ada memuat naik gambar keputusan akhir perlawanan dengan mendapat sambutan yang sangat padu daripada para peminat termasuk pemilik kelab itu sendiri iaitu Duli Yang Amat Mulia Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim (TMJ) yang meluahkan rasa gembira di komen untuk meraikan kelab kesayangannya.
Selain itu, ada satu lagi komen yang mencuri tumpuan ramai iaitu bintang bola sepak dunia, Lukas Podolski turut mencelah dalam kebanyakan komen untuk memberi ucapan tahniah buat kelab gergasi di Malaysia ini.
Sebenarnya, nama pemain tersebut bukan sesuatu yang asing lagi bersama JDT. Umum diketahui ramai Lukas Podolski sebelum itu pernah hadir ke kelab tersebut untuk berjumpa bersama TMJ serta melawat fasiliti di sana.
Pada musim 2020, TMJ ada menyatakan rasa minat untuk membawa juara Piala Dunia 2014 itu bersama kelabnya setelah Lukas Podolski sendiri turut hadir ke Johor pada tahun berkenaan.
Namun segalanya tidak berjaya direalisasikan setelah JDT sendiri ketika itu sudah ada barisan pemain import yang lengkap dan mereka terpaksa melupakan hasrat untuk menandatangani pemain tersebut.
Untuk rekod semasa, Lukas Podolski kini masih beraksi bersama Gornik Zabre yang terletak di Gliwice, Poland adalah kelab di mana bakat Podolski dikesan buat kali pertama.
Bersama kelab tersebut, tujuh gol berjaya diledak oleh penyerang ini sepanjang 22 penampilan untuk membuktikan beliau masih lagi relevan untuk mana-mana kelab yang memerlukan penyerang berpengalaman seperti beliau.
Kali terakhir Lukas Podolski beraksi di Asia adalah pada tahun 2020 bersama Vissel Kobe dan beliau meledak 15 gol keseluruhan sepanjang bersama salah satu gergasi kelab di Jepun tersebut.
Apa yang membuatkan perasaan kagum itu hadir apabila kejayaan JDT ini mendapat liputan yang sangat meluas sehingga pemain bintang antarabangsa turut memandang apa yang sedang dikecapi oleh JDT setakat ini.
Moga kejayaan JDT kali ini turut menjadi sumber motivasi buat pasukan lain untuk mengikuti jejak langkah mereka dan tidak sekadar berbangga di peringkat domestik.
Ikuti kami di TikTok!
Semuanya BOLA akhirnya telah tiba di TikTok! Ikuti akaun TikTok kami untuk dapatkan info ringkas dan santai mengenai bola sepak dalam bentuk video pendek sekarang.
Jom buat ramai di sana dengan ikuti di tiktok.com/@mysemuanyabola sekarang!