Claudio Ranieri berkata beliau dahagakan lebih banyak kejayaan di England dan mahukan Fulham bangkit untuk mengelakkan penyingkiran dari Liga Perdana Inggeris (EPL) pada musim ini selepas dilantik sebagai pengurus baharu kelab tersebut.
The Cottagers memecat Slavisa Jokanovic pada Rabu dan seraya itu mengumumkan perlantikan Ranieri sebagai pengurus baharu kelab tersebut.
Fulham kini berada di kedudukan tercorot EPL, dan hanya mengutip lima mata selepas 12 perlawanan. Kelab tersebut turut membelanjakan lebih dari £100 juta untuk membawa pemain baharu pada jendela musim panas lalu.
Kekal Liga Perdana Inggeris
Bercakap kepada wartawan dalam sidang media selepas perlantikkan beliau, Ranieri berkata:
“Saya berharap musim ini kami terlebih dahulu kekal bersaing di EPL. Kemudian rancangan seterusnya ialah untuk mengikut pelan yang telah diatur oleh pengerusi kelab,” ujar beliau.
Jokanovic yang dilantik oleh Fulham pada Disember 2015 berjaya membawa Fulham mara ke EPL dari Championship melalui perlawanan play-off pada musim lalu.
Enam kekalahan berturut-turut dan memiliki rekod dibolosi tertinggi di kalangan kelab yang bertanding- sebanyak 31 gol menjadikan Jokanovic menjadi pengurus pertama di EPL pada musim ini yang dipecat.
Ranieri turut mempunyai pandangan beliau terhadap Jokanovic dengan menyifatkan bekas pengurus dari Serbia itu sebagai seorang pemain bola sepak yang hebat ketika era sebagai pemain- juga seorang pengurus yang memulakan karier dengan baik bersama Fulham.
Tagih komitmen 100%
Pengurus dari Itali yang turut pernah membimbing Valencia, Atletico Madrid dan Chelsea itu juga menagih komitmen 100% dari semua pihak, terutama pemain dan penyokong.
“Sebagai penggurus dari Itali, pertahanan adalah aspek utama bagi kami di dalam pasukan. Ia penting untuk mempunyai visi yang jelas mengenai sistem pertahanan. Ia bukan mengenai pemain bek atau penjaga gol, tetapi sebuah sistem yang melibatkan keseluruhan pasukan.
“Pada pendapat saya, semangat berpasukan juga adalah salah satu aspek penting. Begitu juga semangat melawan dalam diri pemain sebagai sebuah pasukan. Kami akan beraksi menentang Southampton selepas ini, dan mereka mempunyai semangat berpasukan yang baik. Ia penting untuk kami mula bersedia dari sekarang.
“Sudah tentu saya mengharapkan penyokong tampil memberikan sokongan. Pasukan ini sentiasa memerlukan sokongan mereka. Kami tidak akan menyerah kalah,” tambah bh beliau lagi.
Dahagakan kejayaan di England
Mengenai kejayaan beliau bersama Leicester City yang dianggap keajaiban selepas membantu The Fox mengejutkan bola sepak Inggeris dengan kejuaraan liga pada musim 2015/16, Ranieri berkata:
“Apa yang telah saya capai sebelum ini sudah berlalu. Saya sentiasa melihat ke hadapan dan mahukan lebih banyak kejayaan. Saya berharap saya mampu melakukan tugasan dengan baik di sini.
“Saya sentiasa mempunyai perasaan akan kembali ke England. Musim lalu saya menyambung karier pengurusan di negara lain, tetapi sentimen saya terhadap bola sepak Inggeris sangat tinggi dan saya mahu kembali ke sini.”