Anggota ‘Class of 92’ (gambar bawah) yang memiliki Salford City mensasarkan kelab milik mereka itu untuk beraksi di Liga Perdana Inggeris (EPL) satu hari nanti.
Kelab yang beraksi di Northern National League itu dinafikan peluang buat musim ketiga berturut-turut untuk dipromosikan ke divisyen seterusnya selepas ditewaskan oleh Halifax dalam perlawanan play-off.
Kali ini Salford City tidak mahu berputih mata lagi. Pemain-pemain yang mengikat kontrak di Salford City kini adalah pemain berstatus sepenuh masa dengan 12 rekrut pemain baharu.
Mengambil kira kepentingan aspek pembangunan, Salford City turut mewujudkan akademi bola sepak mereka sendiri.
Sebagai langkah untuk menjadi sebuah kelab profesional sepenuhnya, kelab berkenaan turut berjaya mendapatkan tajaan pada jersi mereka pada musim hadapan oleh Soccer Saturday Super 6.
Kemudahanan infrasruktur kelab turut dibangunkan dengan penambahan kapasiti kepada stadium sedia ada dari 500 tempat duduk, kini mampu memuatkan 2,264 penonton dan bersedia untuk digunakan menjelang sepak mula pada hari ini menentang Darlington.
Ketika ditanya sejauh manakah Salford City mampu pergi, Paul Scholes menjawab: “Liga Perdana Inggeris!”,
Manakala pemilik bersama kelab berkenaan, Gary Neville menambah: “Kita tidak ada siling jika berbicara mengenai pencapaian.”
“Kami tidak akan mengambil alih kelab ini jika kami berpendapat kami tidak mampu membawanya pergi jauh. Kami menerima hakikat wujudnya cabaran berat di hadapan. Akan ada turun dan naik sepanjang perjalanan ini, tetapi kami ada sasaran yang kami mahu capai,” jelas Neville.
“Buat masa ini, sasaran realistik ialah menuju ke Football League dalam tempoh 4 sehingga 6 tahun yang akan datang.”
Ryan Giggs turut menjelaskan:
“Ini bukan perkara yang kita sifatkan sebagai angkuh, Ia bukan seperti kami telah mengatakan, maka kami akan berjaya melakukannya. Namun kita harus mencuba. Kami telah melakukannya sebagai pemain. Kami juga mahu melakukannya sebagai pemilik kelab.”
Kelab milik bekas pemain-pemain yang berasal daripada akademi Manchester United ini telah membawa masuk beberapa muka baharu dan sangat aktif dalam jendela perpindahan pemain kali ini.
Gary Neville turut menggariskan kepentingan menambahbaik skuad sedia ada untuk menghadapi cabaran pada musim baharu.
“Kami mendapat hampir kesemua pemain yang kami kehendaki kecuali seorang untuk menghadapi musim yang baharu, dan ini adalah permulaan yang baik.”
“Sebahagian daripada pemain baharu ini, kami tidak fikir kami akan mampu mendapatkan mereka. Maka saya berpendapat, kami boleh berbangga dengan pencapaian kami ini.” jelas Neville mengenai pemain yang dibawa masuk.
Antara posisi pemain yang diberi fokus oleh Salford City untuk diperkuatkan ialah penjaga gol, pertahanan tengah, jentera tengah pasukan, dan juga seorang penyerang tengah. Kesemua pemain yang mereka bawa sebelum sepak mula musim baharu, mempunyai pengalaman melalui semua ini sebelum ini.
Mengenai transisi dari sebuah kelab semi-pro kepada kelab profesional sepenuhnya, Neville berkata:
“Kesemua pemain harus menerima perubahan ini, dan sepanjang transisi tersebut dilakukan, keadaan di sini akan sentiasa sibuk.”
Seorang lagi pemilik bersama Salford City, Phil Neville turut menjelaskan mengenai transaksi yang mereka lakukan pada musim panas ini adalah untuk menuju masa hadapan yang lebih gemilang.
“Kami mengharapkan kumpulan pemain ini boleh kekal cekal bukan sahaja untuk musim ini, tetapi untuk beberapa musim yang akan datang dan melayakkan diri ke divisyen seterusnya. Maka kami membuat pelaburan untuk masa hadapan dan bukan hanya untuk hari ini,” jelas Phil Neville.
Sejarah Salford City kembali kepada penubuhannya pada tahun 1940. Berpengkalan di Moor Land, Kersal di bandar Manchester, kelab ini diambil alih oleh ahli ‘Class of 92’ yang merupakan bekas pemain dan bintang Manchester United serta usahawan dari Singapura, Peter Lim.
Sejak mengambil alih pengurusan 3 tahun yang lalu, Salford City sudah membangun daripada sebuah kelab amatur kepada sebuah kelab bola sepak profesional dengan cita-cita yang besar.
Di Malaysia sendiri, kita turut mempunyai kelab-kelab kecil yang bermula dari bawah atau berasal daripada bola sepak komuniti.
Shah Alam Antlers (gambar atas) adalah salah sebuah kelab yang berasal daripada bola sepak di peringkat komuniti dan mampu untuk berkembang maju sepertimana atau lebih baik dari pasukan-pasukan bola sepak profesional sedia ada di negara kita.
Mungkin satu perkara yang boleh pasukan kita di Liga Malaysia pelajari dari Salford City ialah, tatacara pengurusan yang betul, keyakinan, kesungguhan dan juga kesedaran kepentingan pembangunan bola sepak.
Salford City masih sebuah kelab kecil di divisyen bawahan. Tidak mustahil untuk mereka berjaya menuju pentas EPL satu hari nanti jika dedikasi hari ini diambil sebagai ukuran.
Sumber:
1. Semuanya BOLA (2017): SHAH ALAM ANTLERS KELAB KOMUNITI PERTAMA DI MALAYSIA UMUM KERJASAMA AKADEMI DENGAN NFDP; https://semuanyabola.com/kelab-komuniti-shah-alam-antlers-kerjasama-nfdp/
2. Billy Cundall, Sky Sport (2017): Gary Neville and Ryan Giggs target taking Salford City to the Premier League; http://www.skysports.com/football/news/11095/10973347/gary-neville-and-ryan-giggs-target-taking-salford-city-to-the-premier-league