Pendahulu Liga Perdana Inggeris, Manchester City sahkan pemain sayap mereka, Leroy Sane mengalami kecederaan ligamen buku lali semasa menentang Cardiff City dalam perlawanan Piala FA.
Pemain skuad kebangsaan Jerman itu terpaksa dikeluarkan semasa awal separuh masa kedua berikutan terjahan keras yang dilakukan oleh pemain pertahanan Cardiff, Joe Bennett.
Sane sejak itu telah menjalani imbasan yang telah mengesahkan pemain berusia 22 tahun itu terpaksa direhatkan, meskipun begitu tempoh untuk beliau kembali bermain semula belum ditetapkan.
Thanks for all your messages yesterday and today! I suffered ankle ligament damage, but I think it isn't as bad as it looked. 😉 My rehab will start soon and I'm motivated to be back on the pitch as soon as possible! 🔥⚽🔥 #inSané #LS19 @ManCity pic.twitter.com/WQCpdFrgjO
— Leroy Sané (@leroy_sane) January 29, 2018
“Terima kasih kepada yang menghantar mesej semalam dan hari ini. Saya mengalami kecederaan ligamen buku lali, namun saya tidak rasa ia seteruk seperti yang dilihat,” kata Sane di laman Twitter rasminya.
“Rawatan pemulihan akan bermula tidak lama lagi dan saya bermotivasi untuk kembali ke padang secepat mungkin!” ujarnya.
Pengurus City, Pep Guardiola ternyata berang dengan insiden berkenaan dan selepas itu ke atas Brahim Diaz, juga dilakukan Bennett dan kemudiannya masuk ke padang selepas wisel penamat untuk mengadu kepada pengadil Lee Mason.
“Saya sudah katakan banyak kali bahawa mereka (pengadil) perlu melindungi pemain. Ia berlaku ke atas Leroy dan kemudiannya Brahim pada akhir perlawanan.” katanya.
Ia selepas City dinafikan gol kedua yang jelas sah hasil tendangan Bernardo Silva namun dibatalkan penjaga garisan yang merasakan Sane berdiri di posisi ofsaid menghalang pandangan penjaga gol Cardiff, Neil Etheridge.
Selepas tayangan semula, ia jelas menunjukkan Sane berdiri selari dengan pemain pertahanan Cardiff.
Guardiola mengatakan beliau boleh menerima kesilapan keputusan ofsaid tersebut namun percaya para pengadil perlawanan tidak menawarkan perlindungan yang cukup kepada para pemain.
“Sane tidak dapat bermain, saya tidak tahu berapa lama, saya bukan doktor. Esok sama-sama kita akan lihat.
“Mereka (para pegawai perlawanan) perlu melindungi para pemain.
“Bukan hanya para pemain saya. Semua pemain.
“Mereka (para pengadil) tugasannya untuk melindungi para pemain. Apabila berlaku kesalahan, ia adalah kesalahan, dan bila ia bahaya, ia adalah bahaya.
“Saya tidak faham mengapa gol Bernardo dibatalkan, tapi ia masih ok. Kami boleh menerimanya.
“Tapi mereka harus melindungi para pemain. Mereka perlu lakukan tugasan mereka.”
Kemenangan City tersebut bermakna mereka masih terlibat dalam empat kejuaraan.